fb fb fb fb fb

Israel desak ketua UNRWA letak jawatan

Foto AFP

GENEVA, 17 Februari- Israel dipercayai sedang melancarkan kempen menghapuskan Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA).

Menurut Ketua UNRWA, Philippe Lazzarini, gesaan untuk beliau meletak jawatan adalah sebahagian desakan Israel.

"Sekarang ini kita sedang berhadapan dengan kempen yang disebarkan Israel; bertujuan menghapuskan UNRWA.

"Ia adalah matlamat politik jangka panjang kerana jika agensi bantuan itu dimansuhkan, status pelarian Palestin akan diselesaikan.

"Terdapat matlamat politik di sebalik gesaan ini.

"Lihat sahaja jumlah tindakan Israel terhadap UNRWA, badan bantuan utama di Gaza," kata Lazzarini kepada kumpulan akhbar Switzerland, Tamedia di sini.

Terdahulu, Israel telah menggesa Lazzarini meletak jawatan berikutan dakwaan bahawa terowong Hamas telah ditemukan di bawah ibu pejabatnya yang dipindahkan di Gaza.

Lazzarini berkata terowong itu berada 20 meter di bawah tanah dan UNRWA sebagai pertubuhan kemanusiaan tidak mempunyai keupayaan untuk meneliti perkara itu.

Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, serangan Israel ke atas Gaza sejak 7 Oktober lalu telah membunuh sekurang-kurangnya 28,775 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak. - AFP

Artikel Berkaitan:
Israel guna bom tangan, gas pemedih mata serang rakyat Gaza
Rakyat Argentina kecam pencerobohan Israel di Gaza
Mesir nafi dakwaan sertai proses pemindahan penduduk Gaza ke Sinai
ICJ tolak permintaan Afrika Selatan untuk lebih banyak tindakan ke atas Gaza

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM