fb fb fb fb fb

Mesir nafi dakwaan sertai proses pemindahan penduduk Gaza ke Sinai

Foto Reuters

KAHERAH, 17 Februari - Mesir secara mutlak menafikan dakwaan menyertai sebarang proses yang melibatkan pemindahan penduduk Palestin di Semenanjung Gaza ke Semenanjung Sinai, kata Perkhidmatan Maklumat Negara (SIS) pada Jumaat.

Empat sumber memberitahu Reuters bahawa Mesir, sebagai langkah berjaga-jaga, sedang menyediakan kawasan di sempadan Gaza yang boleh menampung rakyat Palestin sekiranya serangan Israel ke Rafah menyebabkan penghijrahan merentasi sempadan.

Berita itu juga turut dilaporkan oleh outlet lain, termasuk Wall Street Journal.

"Pendirian tegas Mesir sejak awal pencerobohan, adalah menolak sepenuhnya sebarang pemindahan paksa atau sukarela saudara-saudara Palestin dari Semenanjung Gaza ke luarnya, terutama ke wilayah Mesir," kata ketua SIS, Diaa Rashwan dalam satu kenyataan.

Beliau berkata senario seperti itu akan melibatkan "pembubaran pasti perjuangan Palestin dan ancaman langsung kepada kedaulatan Mesir dan keselamatan negara."

Yayasan Hak Asasi Manusia Sinai, sebuah pertubuhan aktivis, mengeluarkan imej pada hari Isnin yang menunjukkan trak pembinaan dan kren bekerja di kawasan tersebut dan imej penghadang konkrit di sepanjang sempadan.

"Mesir sudah lama mempunyai zon penampan dan halangan di kawasan ini sebelum krisis semasa meletus. Ini adalah langkah-langkah yang diambil oleh mana-mana negara di dunia untuk memelihara keselamatan sempadannya dan kedaulatannya ke atas wilayahnya," tambah Rahswan.

Sambil menyifatkan sebarang jenis perpindahan sebagai "jenayah yang dianjurkan oleh sesetengah pihak Israel," Rashwan berkata Mesir akan mengambil semua langkah yang perlu untuk menghentikannya.

Awal minggu ini, Mesir menjadi tuan rumah rundingan melibatkan AS, Israel dan Qatar mengenai kemungkinan gencatan senjata Gaza.

Sumber Mesir berkata negara itu optimis bahawa rundingan untuk mencapai gencatan senjata boleh mengelak prospek perpindahan.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN