fb fb fb fb fb

Trump dikenakan penalti AS$354.9 juta, larangan 3 tahun dalam kes penipuan sivil

Foto Reuters

NEW YORK, 17 Februari - Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump diarah membayar AS$354.9 juta sebagai penalti oleh hakim New York pada Jumaat atas dakwaan penipuan.

Hakim Arthur Engoron turut melarang Trump yang bertanding untuk mendapatkan semula jawatan presiden tahun ini, daripada berkhidmat sebagai pegawai atau pengarah mana-mana perbadanan di New York selama tiga tahun.

Tuntutan yang dibawa oleh Peguam Negara New York, Letitia James menuduh Trump dan perniagaan keluarganya melebih-lebihkan nilai bersihnya sebanyak AS$3.6 bilion setahun dalam tempoh sedekad untuk memperdaya pihak bank supaya memberikan terma pinjaman yang lebih baik kepadanya.

Trump, yang menghadapi pertuduhan jenayah dalam empat kes lain, telah mendakwa tindakan berkenaan bermotifkan politik yang secara langsung memberi kesan kepada empayar perniagaan dan kedudukan kewangannya.

Trump menerusi media sosialnya, menyelar keputusan itu dengan menggelarnya sebagai penipuan menyeluruh dan melabelkan hakim kes sebagai tidak jujur.

Engoron, yang memutuskan kes itu tanpa juri, turut melarang Trump dan syarikatnya yang dinamakan dalam saman itu daripada memohon pinjaman daripada mana-mana institusi kewangan yang disewa di New York selama tiga tahun, yang boleh menyekat keupayaannya untuk mendapatkan kredit daripada bank-bank utama AS.

Trump dijangka mengemukakan rayuan dan memandangkan kes itu adalah kesalahan sivil, bukan jenayah, tiada ancaman beliau akan dipenjara.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN