JAKARTA, 10 Januari - Gunung Lewotobi Laki-Laki di Indonesia meletus semula hari ini, memuntahkan awan abu dua kilometer (6,561 kaki) di atas puncaknya, sekali gus menaikkan status amaran gunung berapi itu ke paras tertinggi.
Letusan itu berikutan aktiviti gunung berapi yang semakin meningkat selama berminggu-minggu yang terletak di Pulau Flores timur Indonesia dan mendorong kerajaan tempatan mengeluarkan perintah pemindahan untuk penduduk berdekatan.
“Masyarakat digesa segera berpindah ke tempat selamat untuk mengelakkan abu panas (dari gunung berapi),” kata pegawai tempatan, Benediktus Bolibapa Herin kepada AFP.
Pihak berkuasa tempatan telah menyediakan dua tempat perlindungan sementara, yang kini menempatkan kira-kira 5,000 orang, kata Herin.
Pusat Vulkanologi dan Tebatan Bencana Geologi (PVMBG) lewat semalam menaikkan tahap berjaga-jaga Lewotobi Laki-Laki kepada 4 selepas ia dinaikkan ke tahap kedua minggu lalu dan mengenakan zon pengecualian empat hingga lima kilometer di sekitar kawah itu.
"Penduduk tempatan dinasihatkan supaya berwaspada dengan potensi banjir apabila aliran lumpur gunung berapi mengalir ke dalam sungai," kata ketua PVMBG, Hendra Gunawan dalam satu kenyataan.
Tambah Hendra, orang ramai harus memakai pelitup muka untuk mengelakkan bahaya abu gunung berapi kepada sistem pernafasan.
Pihak berkuasa Indonesia semalam meningkatkan status berjaga-jaga gunung berapi yang terletak di pulau Sumatera di negara itu ke paras kedua tinggi dan mengenakan zon terkecuali sepanjang 4.5 kilometer dari kawahnya.-AFP