ROM, 4 Oktober - Aktivis Global Sumud Flotilla (GSF) dari Itali yang ditahan tentera Israel selamat tiba di Rom, termasuk Senator Marco Croatti, Ahli Parlimen Eropah Benedetta Scuderi dan Ahli Parlimen Parti Demokratik Arturo Scotto.
Ketibaan mereka di Lapangan Terbang Rom disambut keluarga serta penyokong.
Scuderi berkata, meskipun keletihan, tumpuan mereka masih bersama Gaza dan rakan seperjuangan yang belum dibebaskan.
"Kami agak letih, tetapi kami sudah pulang. Fikiran kami tetap bersama Gaza, juga mereka (aktivis) yang belum kembali dan sentiasa kami ingati sepanjang masa.
"Terdapat banyak pelanggaran, banyak perkara berlaku. Kami akan kongsikan semuanya bersama esok apabila mereka tiba," katanya kepada pemberita di sini.
Croatti pula menzahirkan kebimbangan terhadap rakyat Itali yang masih ditahan, sambil mendedahkan aktivis berulang kali direkod, dipantau dan dibawa menaiki van ketika dalam tahanan.
Sementara Menteri Luar Itali, Antonio Tajani, menegaskan bahawa pihak kedutaan mendesak Israel membenarkan lawatan konsular dan pembebasan segera semua aktivis.
Seramai 40 rakyat Itali menyertai flotila itu dan ditahan sehari di penjara Israel selepas kapal mereka yang membawa bantuan ke Gaza dipintas.
Kementerian Luar Palestin menyifatkan tindakan Israel sebagai pelanggaran undang-undang antarabangsa, sementara protes solidariti flotila tercetus di seluruh dunia. -VIORY