fb fb fb fb fb

Gempa bumi gegar Jepun, penduduk kosongkan pantai

Keretakan jalan yang disebabkan oleh gempa bumi dilihat di Wajima, wilayah Ishikawa/Foto Kyodo REUTERS

TOKYO, 1 Januari- Gempa bumi kuat dan ancaman tsunami melanda tengah Jepun dan pantai barat negara itu pada Isnin. Ia mencetuskan amaran kepada penduduk untuk berpindah selain memutuskan bekalan elektrik beribu-ribu kediaman dan mengganggu penerbangan serta perkhidmatan kereta api ke wilayah yang terjejas.

Gempa bumi dengan 7.6 skala richter itu mencetuskan ombak setinggi 1 meter di sepanjang bahagian pantai Laut Jepun, lapor penyiar awam NHK.

Agensi Meteorologi Jepun telah mengeluarkan amaran tsunami untuk wilayah pantai Ishikawa, Niigata dan Toyama. Rusia turut mengeluarkan amaran tsunami di bandar timurnya iaitu Vladivostok dan Nakhodka.

Pihak berkuasa masih menilai tahap kerosakan dan penduduk perlu bersedia untuk sebarang gegaran lagi, kata Perdana Menteri Fumio Kishida dalam ucapan yang disiarkan di NHK.

"Penduduk perlu terus berjaga-jaga untuk kemungkinan gempa bumi selanjutnya dan saya menggesa orang ramai berpindah secepat mungkin," kata Kishida.

Gempa bumi itu turut menggegarkan bangunan di ibu kota Tokyo.

Bekalan elektrik diputuskan dan menjejaskan lebih 36,000 penduduk di wilayah Ishikawa dan Toyama, kata pembekal utiliti Hokuriku Electric Power.

Perkhidmatan kereta api laju ke Ishikawa juga digantung manakala pengendali telekomunikasi Softbank dan KDDI melaporkan gangguan perkhidmatan telefon dan internet di Ishikawa dan Niigata.

Menurut TV Asahi empat pesawat daripada syarikat penerbangan Jepun ANA berpatah balik menuju ke lapangan terbang di Toyama dan Ishikawa selepas gempa bumi, manakala Japan Airlines membatalkan kebanyakan perkhidmatan penerbangan ke wilayah Niigata dan Ishikawa.

Bagaimanapaun Pihak Berkuasa Pengawalseliaan Nuklear Jepun berkata, tiada aktiviti dilaporkan di loji tenaga nuklear di sepanjang Laut Jepun, termasuk lima reaktor aktif di loji Kansai Electric Power Ohi dan Takahama di Prefektur Fukui.

Loji Shika Hokuriku di Ishikawa, yang terletak paling hampir dengan pusat gempa turut menghentikan dua reaktornya sebelum gempa.

Timur laut Jepun pernah dilanda gempa bumi dan tsunami besar pada 11 Mac 2011. Kejadian itu membunuh hampir 20,000 individu selain memusnahkan bandar dan mencetuskan kejatuhan nuklear di Fukushima.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI