fb fb fb fb fb

Dua kru Filipina antara maut dalam serangan peluru berpandu Houthi

Pemandangan dari udara kapal berbendera Barbados True Confidence terbakar berikutan serangan peluru berpandu Houthi di laut, 6 Mac 2024/ REUTERS

MANILA, 7 Mac- Dua anak kapal Filipina adalah antara yang terbunuh dalam serangan peluru berpandu oleh pemberontak Houthi Yaman ke atas sebuah kapal di Teluk Aden, kata kerajaan Filipina hari ini.

Mereka yang terbunuh dalam serangan pada Rabu merupakan kematian pertama akibat serangan Houthi ke atas kapal dagang yang transit di laluan utama perdagangan Laut Merah.

“Dengan sangat sedih, Jabatan Pekerja Migran mengesahkan kematian dua pelaut Filipina dalam serangan terbaru oleh pemberontak Houthi ke atas kapal yang berlayar di Laut Merah dan Teluk Aden,” kata agensi itu dalam satu kenyataan.

“Kami juga dimaklumkan bahawa dua lagi anak kapal Filipina cedera parah dalam serangan ke atas kapal mereka,” tambahnya.

Manila sedang berhubung dengan pemilik kapal dan agensi krunya "untuk memastikan keadaan kru kapal yang lain" dan untuk menghantar pulang mereka, kata jabatan itu.

Komando Pusat AS dalam satu kenyataan berkata peluru berpandu balistik anti-kapal telah menyerang kapal M/V True Confidence milik Liberia yang berbendera Barbados, selepas itu krunya melaporkan "tiga maut, sekurang-kurangnya empat cedera, di mana tiga berada dalam keadaan kritikal, dan kerosakan yang ketara pada kapal itu.

Jurucakap tentera Houthi, Yahya Saree menulis di media sosial bahawa True Confidence disasarkan dengan peluru berpandu "selepas anak kapal menolak mesej amaran" daripada pemberontak.

Kumpulan yang disokong Iran itu mula menyerang kapal-kapal di Teluk Aden dan Laut Merah pada November lalu sebagai kempen yang mereka katakan bertujuan untuk menandakan solidariti dengan rakyat Palestin di Gaza.

Manila masih menuntut pembebasan 17 warga Filipina yang dijadikan tebusan oleh Houthi pada November selepas pemberontak merampas kapal mereka di Laut Merah. -AFP

ZEHRA BINTI ZAMBRI