LOS ANGELES, 8 November – Sebuah trilogi filem "Star Wars" baharu yang ditulis oleh penerbit "X-Men", Simon Kinberg, kini dalam peringkat awal pembangunan di Walt Disney Co, menurut sumber yang mengetahui perkara tersebut.
Kinberg, yang turut mencipta siri animasi "Star Wars Rebels", akan menerbitkan filem-filem ini bersama Presiden Lucasfilm, Kathleen Kennedy.
Disney kali terakhir mengeluarkan filem "Star Wars" di pawagam menerusi "The Rise of Skywalker" pada 2019.
Trilogi baharu ini akan memulakan jalan cerita yang berbeza dan tidak berkaitan dengan kisah Skywalker, menurut sumber tersebut.
Namun, tiada butiran lanjut mengenai plot atau garis masa diberikan.
"Star Wars", hasil ciptaan George Lucas, kekal sebagai salah satu francais filem paling berjaya di dunia, dengan kutipan melebihi AS$5 bilion dalam jualan tiket global sejak keluaran pertama pada 1977.
Disney juga mempunyai beberapa projek "Star Wars" lain yang sedang dirancang, termasuk filem "The Mandalorian and Grogu" yang berdasarkan siri Disney+ mengenai seorang pahlawan berperisai dan temannya, dijadualkan tayangan di pawagam pada Mei 2026.-REUTERS