fb fb fb fb fb

China kutuk pembunuhan Ketua Hamas di Iran

Lin Jian/AFP

BEIJING, 31 Julai- China hari ini mengeluarkan kenyataan mengutuk pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh di Tehran, Iran, awal pagi tadi.

Jurucakap Kementerian Luar, Lin Jian berkata, serangan terbabit hanya menambahkan lagi ketegangan di rantau itu.

"Kami sangat prihatin dengan insiden ini... dan dengan tegas menentang serta mengutuk pembunuhan tersebut. Kami amat bimbang insiden ini bakal menambah lagi ketidakstabilan situasi serantau," katanya dalam sidang media hari ini.

Beliau berkata, China sentiasa menganjurkan penyelesaian pertikaian serantau melalui rundingan dan dialog, serta menegaskan keperluan gencatan senjata kekal di Gaza.

"Gaza harus mencapai gencatan senjata yang komprehensif dan kekal secepat mungkin untuk mengelak konflik serta konfrontasi yang semakin meningkat," katanya.

Bulan ini, China menjadi tuan rumah kepada Hamas dan Fatah di sini, yang mana mereka menandatangani perjanjian bagi membentuk "kerajaan perpaduan nasional" di Gaza selepas perang.

China meletakkan negaranya sebagai "pihak neutral" dalam konflik Israel-Palestin iaitu menyokong penyelesaian dua negara, sambil mengekalkan hubungan baik dengan Israel.

Sementara itu, Hamas hari ini mengesahkan Haniyeh terbunuh dalam serangan udara Israel di Iran, kira-kira pukul 2.00 pagi waktu tempatan.

Haniyeh berangkat ke Tehran bagi menghadiri majlis angkat sumpah Presiden baharu Iran, Masoud Pezeshkian yang diadakan di Tehran semalam.

Susulan kematian Haniyeh, Hamas berikrar akan bertindak balas dengan menyatakan tindakan itu "tidak akan dibiarkan begitu saja" oleh pihaknya. -AFP

BERITA BERKAITAN

SITI AISHAH MD ISA