TEHRAN, 31 Julai- Media Iran hari ini mengesahkan bahawa Ketua Hamas, Ismail Haniyeh terbunuh akibat serangan udara selepas menghadiri majlis perasmian presiden baharu Iran di sini, awal pagi tadi.
"Haniyeh, yang datang ke Iran untuk upacara pelantikan presiden, tinggal di salah satu kediaman khas untuk veteran perang di utara Tehran, dan syahid akibat peluru berpandu yang dilancarkan melalui udara," kata agensi berita Fars.
Media lain juga melaporkan kenyataan sama.
Ia turut melaporkan serangan berkenaan berlaku sekitar pukul 2.00 pagi waktu tempatan.
Haniyeh berangkat ke Tehran bagi menghadiri majlis angkat sumpah Presiden Masoud Pezeshkian semalam.
Sementara itu, kumpulan Houthi di Yaman mengutuk serangan berkenaan dan menyifatkan pembunuhan Haniyeh sebagai "jenayah pengganas yang keji."
"Menyasarkan Haniyeh adalah jenayah pengganas yang kejam dan pelanggaran undang-undang serta nilai-nilai ideal secara terang-terangan," kata Mohammed Ali al-Huthi, ahli biro politik Houthi, di platform X. -AFP
BERITA BERKAITAN