fb fb fb fb fb

Turkiye kutuk pembunuhan pemimpin Hamas

Erdogan (kanan) ketika pertemuan dengan Haniyeh / REUTERS

ISTANBUL, 31 Julai- Turkiye pada Rabu mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan pemimpin kumpulan Hamas Ismail Haniyeh.

Kementerian luar negeri dalam satu kenyataan memaklumkan, pembunuhan tersebut adalah sangat memalukan.

"Kami mengutuk pembunuhan pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh, dalam pembunuhan yang memalukan di Tehran," kata kementerian itu.

Kenyataan itu turut menyebut, serangan berkenaan juga bertujuan untuk menyebarkan perang Gaza ke dimensi serantau.

"Kami mengucapkan takziah kepada rakyat Palestin, ratusan ribu syuhada telah terkorban seperti Haniyeh demi hidup aman di tanah air mereka bawah bumbung negara mereka sendiri,” tambah kementerian itu.

"Sekali lagi kerajaan Netanyahu telah menunjukkan bahawa ia tidak berhasrat untuk mencapai keamanan.

"Jika masyarakat antarabangsa tidak mengambil langkah untuk menghentikan Israel, wilayah kita akan menghadapi konflik yang besar."

Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan merupakan antara pemimpin dunia yang lantang menyokong perjuangan Hamas dan mengutuk serangan tidak berperikemanusiaan Zionis di Gaza.

Haniyeh, yang menghabiskan banyak masa di Turki sebelum serangan 7 Oktober yang dilancarkan oleh Hamas ke atas Israel, kali terakhir melawat Erdogan di Istanbul pada April.-AFP

BERITA BERKAITAN:

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE