SEOUL, 21 Mei- Seorang rekrut tentera Korea Selatan terbunuh apabila bom tangan yang digunakannya semasa sesi latihan meletup, hari ini.
Menurut Kementerian Pertahanan negara itu, insiden turut menyebabkan seorang pegawai mengalami kecederaan.
Kejadian berlaku semasa latihan melontar bom tangan di sebuah kem tentera di Wilayah Chungcheong Selatan, kira-kira pada pukul 9.50 pagi waktu tempatan.
"Unit berkenaan dengan pantas membawa dua lelaki tersebut ke hospital, namun pelatih tersebut telah meninggal dunia.
"Pegawai terbabit yang telah sedar, sedang menerima rawatan kecemasan," menurut kenyataan itu.
Kementerian berkenaan menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.
Pihaknya juga akan menyiasat punca sebenar kemalangan itu dengan kerjasama polis. - AFP