fb fb fb fb fb

Bekas ketua risikan Syria ditahan, disyaki terlibat pembunuhan pemimpin Lubnan 1977

Kamal Jumblatt dibunuh berhampiran pos sempadan Syria pada 16 Mac 1977

DAMSYIK, 7 Mac- Pasukan keselamatan Syria telah menahan seorang bekas pegawai kanan risikan yang disyaki terlibat dalam pelbagai pembunuhan, termasuk pembunuhan pemimpin pembangkang Lubnan, Kamal Jumblatt, pada tahun 1977.

Menurut agensi berita rasmi SANA, Ibrahim Huweija, bekas Ketua Risikan Udara, salah satu agensi keselamatan paling dipercayai oleh keluarga pemerintah Assad sebelum ini ditahan dalam pertempuran di wilayah pesisir Latakia.

Pertempuran tersebut, yang melibatkan penyokong bekas pemerintah Bashar al-Assad, digambarkan sebagai yang paling sengit sejak beliau digulingkan pada Disember lalu.

"Selepas pemantauan dan siasatan rapi, pasukan kami di bandar Jableh berjaya menangkap Jeneral Ibrahim Huweija, bekas Ketua Risikan Udara Syria," kata sumber keselamatan yang dipetik oleh SANA.

Huweija memegang jawatan tersebut dari 1987 hingga 2002, bermula bawah pemerintahan Hafez al-Assad, bapa kepada Bashar. Beliau jarang muncul di khalayak ramai dan maklumat mengenainya amat terhad.

Menurut sumber itu lagi, Huweija dituduh terlibat dalam ratusan pembunuhan semasa era Hafez, termasuk mengatur pembunuhan Kamal Bek Jumblatt, pemimpin masyarakat Druze yang juga pengasas Parti Sosialis Progresif Lubnan.

Kamal Jumblatt dibunuh berhampiran pos sempadan Syria pada 16 Mac 1977, selepas menentang campur tangan tentera Syria dalam perang saudara Lubnan.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE