fb fb fb fb fb

Beijing catat 88 kes baharu COVID-19

BEIJING, 6 Mac- Bandar pelabuhan Qingdao di China melaporkan 88 kes baharu COVID-19 semalam, dengan membabitkan varian Omicron.

Angka itu antara penyumbang utama bagi kes harian tempatan di seluruh China semalam, yang mencatat jumlah tertinggi tahun ini.

Suruhanjaya Kesihatan Nasional (NHC) China merekodkan 329 kes baharu COVID-19 dengan 175 daripadanya membabitkan jangkitan tempatan, berbanding hanya 102 kes tempatan pada Jumaat.

Suruhanjaya Kesihatan Perbandaran Qingdao berkata, kebanyakan penularan di Qingdao adalah dalam kalangan pelajar sekolah menengah di daerah Laixi.

Daerah Laixi akan melaksanakan ujian besar-besaran kali kedua pada 7 Mac ini, kata seorang pegawai Qingdao dalam sidang media hari ini, sambil memaklumkan tiada risiko besar gelombang penularan setakat ini.

(FOTO AFP)

Langkah 'pembersihan dinamik' China untuk COVID-19 menyasarkan untuk menghentikan jangkitan secepat mungkin sebaik sahaja kes baharu dikesan.

Menurut NHC, penularan di Qingdao melonjakkan jumlah kes tempatan di China ke kadar tertinggi sejak 31 Disember lalu, dengan kes lain direkodkan di wilayah Jilin, Guangdong dan Hebei.

Jumlah kes baharu tidak bergejala di China yang tidak dikategorikan sebagai kes disahkan, adalah sebanyak 209 berbanding 166 pada hari sebelumnya.

Setakat semalam, China merekodkan keseluruhan 110,868 kes COVID-19 dan 4,636 kematian. -REUTERS

Media Baharu