HANOI, 16 November- Dua orang maut dan tiga masih hilang selepas hujan lebat berhari-hari membanjiri jalanan dan menenggelamkan beribu-ribu rumah di tengah Vietnam, kata pihak berkuasa pengurusan bencana Khamis.
Antara bandar yang paling teruk terjejas ialah Hue, ibu kota empayar lama Vietnam, di mana 16,000 rumah sebahagiannya ditenggelami air, menurut Jawatankuasa Pemandu Kebangsaan bagi Pencegahan dan Kawalan Bencana Alam.
Media kerajaan melaporkan seorang wanita berusia 40 tahun maut dan anak perempuannya berusia 18 tahun hilang selepas dihanyutkan air banjir apabila bot yang mereka naiki terbalik di tapak warisan dunia itu.
Di wilayah Quang Tri, satu mayat lelaki berusia 36 tahun yang pergi memancing di tasik ditemukan pada Rabu, tambah media kerajaan.
Di lima wilayah tengah, lebih 4,000 orang telah dipindahkan dari rumah mereka, kata pihak berkuasa.
Sebahagian lebuh raya negara yang menghubungkan utara dan selatan Vietnam juga telah disekat oleh tanah runtuh akibat banjir.
Vietnam sering dilanda cuaca buruk pada musim hujan antara Jun dan November.
Jabatan Meteorologi meramalkan hujan akan berterusan di kawasan itu untuk sehari lagi sebelum bertambah baik pada hujung minggu ini.
Menurut angka rasmi, bencana alam termasuk banjir dan tanah runtuh telah menyebabkan 138 orang mati dan hilang di Vietnam tahun ini.
Para saintis telah memberi amaran kejadian cuaca ekstrem di seluruh dunia menjadi lebih sengit dan kerap disebabkan oleh perubahan iklim.-AFP