fb fb fb fb fb

Bandar Kramatorsk dibedil, Rusia alih sasaran serangan di timur Ukraine

(Seorang lelaki mengendong kanak-kanak ketika tiba bersama keluarga lain untuk menaiki kereta api
di stesen pusat Kramatorsk setelah melarikan diri dari bandar timur Kramatorsk pada 4 April 2022/AFP)

KRAMATORSK, 5 April- Serangan udara di Kramatorsk bandar timur di Ukraine menjadi sasaran terbaharu tentera Rusia selepas Moscow menyatakan mereka telah mengalihkan sasaran ke timur negara itu.

Sejak serangan tentera Rusia di Ukraine bulan lalu, sebahagian besar Kramatorsk tidak terjejas berbanding bandar berhampiran termasuk penempatan terbesar Ukraine, Kharkiv.

Wartawan AFP yang berada di bandar tersebut memaklumkan, satu serangan udara berlaku pada 3.00 pagi waktu tempatan memusnahkan sekolah yang terletak berhampiran balai polis di pusat bandar.

Serangan itu menyebabkan kawah besar kira-kira 10 meter lebar terbentuk berhampiran bangunan sekolah yang musnah dan banyak tingkap bangunan pecah.

Setakat ini, belum ada pengesahan rasmi tentang jumlah kematian atau mangsa yang cedera.

Namun penduduk berhampiran lokasi serangan berkata sekolah berkenaan kosong dan tidak ada mangsa yang cedera akibat serangan tersebut.


(Antara bangunan yang musnah di Kramatorsk, wilayah Donbas pada 3 April 2022/AFP)

Pihak berkuasa Ukraine baru-bari ini memberi amaran tentang jangkaan pertempuran di timur Ukraine semakin buruk selepas Moscow memanggil tentera dari sekitar ibu negara Kiev bagi memberi tumpuan kepada ‘pembebasan’ wilyah timur Donbas.

Ribuan penduduk Kramatorsk yang jumlah keseluruhan sebelum perang dianggarkan sebanyak 150,000 telah melarikan diri ke barat ketika operasi tentera Rusia di bahagian lain.

Seorang pegawai berkata, pada pagi Selasa pemindahan keluar penduduk menggunakan kereta api dihentikan sementara bagi membolehkan penilaian landasan di luar dari kawasan bandar itu dilakukan.

Ketika awal pencerobohan tentera Rusia, beberapa serangan peluru berpandu mengenai Kramatorsk termasuk serangan yang menyasarkan lapangan terbang. –AFP

Media Baharu