fb fb fb fb fb

Arab Saudi adakan mesyuarat pakatan antarabangsa untuk perjuangkan Palestin

Foto AFP

RIYADH, 30 Oktober - Arab Saudi dijangka akan mengadakan mesyuarat pertama bagi pakatan antarabangsa baharu pada Rabu bagi memperjuangkan penubuhan negara Palestin, lapor media kerajaan.

Pakatan yang dikenali sebagai Pakatan Antarabangsa untuk Melaksanakan Penyelesaian Dua Negara itu diumumkan bulan lalu pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), melibatkan kerjasama negara Arab, Islam, dan Eropah.

Mesyuarat dua hari yang berlangsung di Riyadh itu akan memfokuskan kepada isu akses kemanusiaan, agensi PBB untuk pelarian Palestin yang sedang berdepan cabaran, serta insentif bagi menyokong penyelesaian dua negara dalam konflik Israel-Palestin.

Kesatuan Eropah akan diwakili oleh Sven Koopmans, wakil khas untuk proses damai Asia Barat, menurut sumber diplomatik.

Perang yang tercetus di Gaza telah menghidupkan kembali perbincangan mengenai penyelesaian dua negara yang bertujuan menjadikan Israel dan Palestin hidup berdampingan secara aman.

Namun, penganalisis menganggap matlamat itu semakin sukar dicapai, terutama dengan sikap keras kerajaan Israel di bawah pimpinan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu yang tegas menentang penubuhan negara Palestin.

Arab Saudi, sebagai pengeksport minyak terbesar dunia dan penjaga dua tanah suci telah menangguhkan rundingan pengiktirafan Israel yang ditaja oleh Amerika Syarikat (AS) selepas perang Gaza meletus antara Hamas dan Israel.

Pada September lalu, Putera Mahkota Mohammed bin Salman menyatakan bahawa penubuhan negara Palestin yang merdeka adalah syarat untuk normalisasi hubungan dengan Israel.

Ireland, Norway, dan Sepanyol mengumumkan pengiktirafan terhadap negara Palestin pada bulan Mei, yang menimbulkan reaksi negatif dari Israel.

Slovenia turut menyusul, menjadikan jumlah negara yang mengiktiraf negara Palestin sebanyak 146 daripada 193 negara anggota PBB.-AFP

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN