GAZA, 27 Mac- Angka kematian rakyat Palestin akibat serangan berterusan Israel di Gaza sejak Oktober 2023 telah meningkat kepada 50,208 kematian, menurut laporan perubatan.
Memetik agensi berita Palestin (WAFA), pihak berkuasa kesihatan tempatan mengesahkan bahawa serangan itu turut menyebabkan 113,910 individu lagi mengalami kecederaan.
Kebanyakan mangsa adalah wanita dan kanak-kanak.
"Sekurang-kurangnya 25 rakyat Palestin terbunuh manakala 82 lagi cedera dalam tempoh 24 jam lalu akibat genosid berterusan Israel di rantau tersebut.
"Petugas kesihatan masih gagal mengeluarkan mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan atau yang terbaring di jalan-jalan di seluruh kawasan yang diserang, kerana Israel terus menyasarkan pasukan perubatan," menurut kenyataan itu.
Serangan genosid Israel berterusan meskipun terdapat seruan dari Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu untuk gencatan senjata dan arahan dari Mahkamah Keadilan Antarabangsa bagi mencegah genosid serta meredakan krisis kemanusiaan di Gaza.