
LONDON, 20 Julai – Andy Burnham hari ini secara rasmi mengambil alih jawatan Perdana Menteri Britain, menggantikan Keir Starmer yang meletak jawatan bulan lalu.
- Negara berdepan kos sara hidup tinggi, pertumbuhan ekonomi perlahan, hutang meningkat dan isu kemasukan pendatang tanpa izin.
- Burnham menyeru pendekatan baharu untuk menamatkan ketidaktentuan politik berlarutan sejak sedekad lalu.
- Berjanji memulihkan keyakinan rakyat, merangsang pertumbuhan, memperkukuh pembangunan wilayah dan bantu menghadapi peningkatan kos sara hidup.
- Membatalkan sistem kad pengenalan digital nasional untuk alihkan peruntukan kepada usaha menangani kos sara hidup.
Burnham, 56, dijadual menghadap Raja Charles III bagi menerima perkenan membentuk kerajaan baharu sebelum menyampaikan ucapan sulung di luar kediaman rasmi Perdana Menteri di 10 Downing Street.
Bekas Datuk Bandar Greater Manchester itu menjadi Perdana Menteri keenam Britain sejak 2016 dan mengambil alih pentadbiran ketika negara berdepan pelbagai cabaran termasuk kos sara hidup yang tinggi, pertumbuhan ekonomi perlahan, hutang kerajaan yang meningkat serta isu kemasukan pendatang tanpa izin.
Dalam wawancara bersama The Times, Burnham berkata Britain memerlukan pendekatan baharu bagi menamatkan ketidaktentuan politik yang berlarutan sejak sedekad lalu.
Beliau berjanji memulihkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan, merangsang pertumbuhan ekonomi, memperkukuh pembangunan wilayah serta melaksanakan langkah awal bagi membantu rakyat menangani peningkatan kos sara hidup.
Burnham turut dijangka mengumumkan barisan Kabinet baharu, termasuk pelantikan Menteri Kewangan yang akan menggantikan Rachel Reeves.
Beliau dipilih mengetuai Parti Buruh selepas Starmer meletak jawatan susulan beberapa kontroversi, perubahan dasar dan penurunan sokongan terhadap kerajaan.
Antara keputusan awal Burnham ialah membatalkan pelaksanaan sistem kad pengenalan digital nasional yang diperkenalkan pentadbiran terdahulu bagi membolehkan peruntukan disalurkan kepada usaha menangani kos sara hidup.-AFP