fb fb fb fb fb

Amaran Ribut Tropika Ramil, ribuan penduduk Filipina berpindah

Ribut Tropika Fengshen (Ramil) mula membadai Gubat, Sorsogon di pesisir timur Filipina petang ini. Gambar ini dikongsi oleh akaun rasmi X Pentadbiran Perkhidmatan Atmosfera, Geofizik dan Astronomi Filipina (PAGASA-DOST) @dost_pagasa

MANILA, 18 Oktober- Ribuan penduduk di pesisir timur Filipina dipindahkan hari ini susulan amaran cuaca bahawa Ribut Tropika Fengshen (Ramil) dijangka membawa banjir dan hujan lebat.

Menurut perkhidmatan cuaca negara itu, ribut berkenaan dijangka membadai wilayah Catanduanes lewat hari ini dengan kelajuan angin kencang sehingga 90 kilometer sejam sebelum membuat pendaratan kedua di pulau utama Luzon pada esok pagi.

Agensi itu turut memberi amaran risiko "minimum hingga sederhana" limpahan pesisir dengan ombak setinggi satu hingga dua meter dijangka menolak air ke daratan.

Setakat petang ini, hampir 17,000 penduduk di wilayah Albay dan lebih 9,000 di pulau Catanduanes telah berpindah ke pusat perlindungan, menurut pegawai bencana tempatan.

"Pihak berkuasa daerah diarahkan mengaktifkan pelan pemindahan masing-masing di kawasan berisiko tinggi termasuk pesisir, kawasan rendah dan cerun terdedah tanah runtuh," kata pegawai penyelamat Catanduanes, Gerry Rubio.

Ketibaan Fengshen berlaku ketika negara itu masih berdepan kesan siri gempa bumi besar yang mengorbankan sekurang-kurangnya 87 orang dalam tempoh tiga minggu lalu. -AFP

SITI AISHAH BINTI MD ISA