fb fb fb fb fb

Al Jazeera tuntut keadilan, cabar kes 'pembunuhan' ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa

Suasana pilu menyelubungi seluruh ahli keluarga dan rakan-rakan yang hadir ketika memberi penghormatan terakhir pengebumian Samer Abud Daqqa yang merupakan jurukamera Al Jazeera/FOTO REUTERS

KAHERAH, 17 Disember - AL Jazeera akan menuntut tindakan undang-undang kes 'pembunuhan' jurukameranya, Samer Abu Daqqa di Gaza ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Samer menjadi mangsa korban dalam serangan dron Zionis Israel pada Jumaat lalu ketika melaporkan pengeboman awal di salah sebuah sekolah yang dijadikan sebagai tempat perlindungan bagi mereka yang kehilangan tempat tinggal di selatan Semenanjung Gaza.

"Rangkaian itu menubuhkan kumpulan kerja bersama, yang terdiri daripada pasukan undang-undang antarabangsanya dan pakar undang-undang antarabangsa yang akan secara kolaboratif memulakan proses perundangan untuk diserahkan kepada pendakwa mahkamah," kata Al Jazeera dalam satu kenyataan.

Menurut kenyataan itu lagi, Al Jazeera juga sedang memfailkan afidavit yang merangkumi serangan berulang ke atas krew yang bertugas dan beroperasi di Palestin.

Mengulas mengenai insiden itu, tentera Israel mendakwa bahawa mereka tidak pernah dan tidak akan sengaja menyasarkan wartawan.

Ia juga mengatakan bahawa kekal dalam zon pertempuran aktif semasa kejadian berbalas tembakan mempunyai risiko.

ICC menjalankan siasatan berterusan terhadap sebarang jenayah yang didakwa dalam bidang kuasanya yang dilakukan di wilayah Palestin dan oleh rakyat Palestin di wilayah Israel.

Pada 2021, Hakim ICC memutuskan bahawa mahkamah mempunyai bidang kuasa selepas pihak berkuasa Palestin mendaftar ke mahkamah pada 2015 dan diberikan status negara pemerhati Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Bagaimanapun, Israel tidak mengiktiraf bidang kuasa ICC ke atas wilayah Palestin dan sebelum ini yang enggan bekerjasama dengan mahkamah.

Sekurang-kurangnya seramai 64 wartawan dan pengamal media terbunuh dalam serangan Israel yang berlangsung selama 10 minggu di Gaza.

Jawatankuasa untuk Melindungi Wartawan (CPJ) melaporkan, serangan tanpa henti dari rejim zionis tu telah memberi kesan buruk kepada pengamal media di wilayah itu.

CPJ menyeru pihak berkuasa antarabangsa untuk menjalankan siasatan bebas ke atas serangan itu untuk meminta pertanggungjawaban penjenayah.

Kereta kebal Israel membunuh wartawan visual Reuters Issam Abdallah dan mencederakan enam wartawan di Lubnan pada 13 Oktober lalu.

Zionis Israel melepaskan dua das tembakan berturut-turut ketika wartawan sedang merakam tembakan rentas sempadan.

Tentera Israel mendakwa kejadian itu berlaku di zon tempur aktif dan sedang dalam semakan. - REUTERS

ARTIKEL BERKAITAN

Jurukamera Al Jazeera maut dalam serangan Israel

Jenazah jurukamera Al Jazeera dikebumi, puluhan rakan media beri penghormatan terakhir

GRACE AISYAH KEDAYAN