fb fb fb fb fb

Rakyat Palestin ditanam hidup-hidup di perkarangan hospital- Saksi

 Menteri Kesihatan Palestin Mai Alkaila

RAMALLAH,17 Disember- Menteri Kesihatan Palestin Mai Alkaila menggesa siasatan antarabangsa dijalankan terhadap laporan bahawa tentera Israel telah menanam rakyat Palestin hidup-hidup di perkarangan Hospital Kamal Adwan ketika serangan berterusan di utara Gaza.

Memetik laporan agensi berita Palestin, WAFA, beliau berkata maklumat dan keterangan daripada saksi, pasukan perubatan dan media menunjukkan bahawa tentera penceroboh menguburkan rakyat Palestin hidup-hidup di perkarangan hospital.

"Sebahagian daripada mereka dilaporkan dilihat masih hidup sebelum dikepung oleh kereta kebal Israel", katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut menggesa masyarakat antarabangsa mengambil tindakan serius untuk mendedahkan butiran kekejaman tersebut dan tidak mengabaikan atau berdiam diri mengenai laporan jenayah perang di Gaza.

"Pasukan rejim zionis sengaja mengeluarkan mangsa yang cedera dari Hospital Kamal Adwan ke tempat terbuka dalam cuaca yang sangat sejuk dan menyerang kakitangan perubatan, menimbulkan ancaman serius kepada nyawa mereka yang cedera dan pesakit", katanya.

"Tentera Israel memusnahkan bahagian selatan hospital, dan 12 bayi masih berada di dalam inkubator di hospital tanpa air atau makanan.

ROSLINA BINTI DIN