fb fb fb fb fb

Jenazah jurukamera Al Jazeera dikebumi, puluhan rakan media beri penghormatan terakhir

Rakan sekerja dan ahli keluarga mendoakan jenazah jurukamera Al Jazeera, Samer Abu Daqa, yang terbunuh semasa pengeboman Israel, semasa pengebumiannya di Khan Younis/FOTO AFP

GAZA, 17 Disember - Puluhan wartawan di Gaza memberi penghormatan terakhir dalam majlis pengebumian seorang jurukamera Al Jazeera yang maut selepas cedera dalam serangan keji rejim Israel di Sekolah Farhana di Khan Younis, pada Jumaat.

Jenazah Samer Abu Daqqa, yang memakai jaket kalis peluru dan topi keledar, diusung orang ramai di sekitar Khan Younis sebelum dikebumikan yang mana kuburnya digali oleh rakan-rakan wartawan yang lain.

Ibunya, Umm Maher Abu Daqqa mengecam tindakan kejam Israel yang sengaja menyasarkan wartawan.

"Ini terutamanya mereka yang bekerja untuk Al Jazeera," kata ibu Samer.

Samer dilahirkan pada 1978, dilaporkan berada di sebuah sekolah di Khan Younis terkena serangan dron dalam serangan zionis Israel.

Sementara itu, rakannya Wael al-Dahdouh yang merupakan ketua biro Gaza turut cedera dalam serangan sama.

Pada akhir Oktober lalu, Dahdouh kehilangan isteri dan dua orang anaknya dalam serangan berasingan oleh Zionis Israel.

Dahdouh berkata tentera Israel "sengaja" menyasarkan wartawan di Gaza.

"Tentera Israel tidak mahu didedahkan di media akhbar, sudah jelas mereka sengaja menyasarkan kami," katanya kepada AFP.

"Di kawasan itu hanya ada pasukan Al Jazeera dan pertahan awam.

1712 ALJAZEERA KEBUMI 2

Tiga anggota pasukan pertahanan awam turut terbunuh dalam serangan itu dan pengebumian mereka diadakan pada Sabtu.

Dilaporkan, Samer yang parah mengalami pendarahan selama lebih lima jam sebelum dia meninggal dunia.

Ia selepas tentera Israel menghalang ambulans dan pekerja penyelamat daripada merawatnya sekali gus menafikan rawatan kecemasan yang sangat diperlukan

Al Jazeera berkata Israel bertanggungjawab secara sistematik kerana menyasarkan dan membunuh wartawan Al Jazeera dan keluarga mereka.

Jawatankuasa Melindungi Wartawan (CPJ) melaporkan lebih daripada 60 wartawan dan kakitangan media telah terkorban sejak tercetusnya konflik peperang Hamas-Israel pada 7 Oktober lalu.

Kementerian kesihatan di Semenanjung Gaza berkata sehingga kini angka korban mencecah 18,800 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak di wilayah Palestin. - AFP

 

GRACE AISYAH KEDAYAN