fb fb fb fb fb

Jurukamera Al Jazeera maut dalam serangan Israel

Jurukamera Al Jazeera - Samer Abu Daqqa maut dalam serangan ketika membuat liputan di sebuah sekolah di Khan Younis/FOTO AFP

 BAITULMAQDIS, 17 Disember - Jurukamera Al Jazeera, Samer Abu Daqqa terbunuh manakala Ketua Biro Gaza, Wael Al-Dahdouh cedera ketika membuat liputan di sebuah sekolah di Khan Younis, selatan Gaza, semalam.

Menurut rangkaian Qatar, mereka terkena serpihan peluru berpandu dilancarkan di kawasan terbabit.

Al Jazeera dalam kenyataan mengecam serangan dron tentera Israel itu sehingga mengorbankan dan mencederakan pengamal media mereka.

"Samer yang parah mengalami pendarahan selama lebih lima jam sebelum dia meninggal dunia.

"Ia selepas tentera Israel menghalang ambulans dan pekerja penyelamat daripada merawatnya sekali gus menafikan rawatan kecemasan yang sangat diperlukan," katanya.

Dalam kemas kini berita, Al Jazeera berkata, Wael sempat meninggalkan kawasan serangan apabila mencari bantuan untuk Samer.

Bagaimanapun, apabila Wael tiba mendapatkan bantuan ambulans, paramedik memaklumkan mereka tidak dapat masuk ke lokasi serangan berikutan terlalu bahaya.

Menurut seorang wartawan AFP, Wael cedera di lengan dan dirawat ke Hospital Nasser di Khan Younis.

Sementara itu, AFP cuba mendapatkan maklum balas daripada tentera Israel namun gagal apabila mereka enggan mengulas.

Editor pengurusan Al Jazeera Mohamed Moawad menerusi hantaran di X menyifatkan Samer merupakan wartawan yang mempunyai komitmen tidak berbelah bahagi dalam melaporkan kebenaran situasi yang berlaku di Gaza.

"Penceritaan Samer telah meninggalkan kesan yang tidak dapat dilupakan dalam pasukan kami.

"Samer dan lensanya merakam realiti kehidupan yang tidak ditapis di Gaza. Samer bukan hanya seroang jurukamera yang profesional malah dia melaporkan dan menceritakan dengan penuh penghayatan jiwa belas kasihan melalui kekuatan visualnya.

"Dalam membongkar kebenaran, jurukamera kami menghadapi risiko besar untuk mendedahkan kepada penonton memberi pemahaman yang lebih mendalam situasi yang berlaku di Gaza pada ketika ini," kata Moawad.

Sementara itu, Al Jazeera berkata Israel bertanggungjawab secara sistematik kerana menyasarkan dan membunuh wartawan Al Jazeera dan keluarga mereka.

Pada akhir Oktober lalu, seorang wartawan Al Jazeera yang juga merupakan ketua biro Gaza, Wael Al-Dahdouh apabila isteri, anak perempuan dan anak lelakinya terbunuh selepas Israel membedil kem pelarian Nuseirat di Gaza.

Jawatankuasa Melindungi Wartawan (CPJ) melaporkan lebih daripada 60 wartawan dan kakitangan media telah terkorban sejak tercetusnya konflik peperang Hamas-Israel pada 7 Oktober lalu. - AFP

GRACE AISYAH KEDAYAN