fb fb fb fb fb

Israel bom utara dan selatan Gaza, ramai penduduk terkorban

Remaja Palestin melihat sebuah rumah musnah berikutan serangan oleh Israel/REUTERS

GAZA, 16 Disember- Tentera Israel mengebom sasaran di seluruh utara dan selatan Gaza pada Sabtu termasuk sebuah bangunan YMCA, dengan berpuluh-puluh rakyat Palestin dilaporkan terbunuh atau cedera.

Di selatan Khan Younis, pegawai kesihatan Palestin berkata Hospital Nasser menerima 20 rakyat Palestin yang terbunuh dalam serangan udara semalam. Selain berpuluh-puluh cedera, termasuk wanita dan kanak-kanak.

Pegawai kesihatan Palestin juga berkata serangan Israel ke atas Kota Gaza di utara telah merebak ke ibu pejabat YMCA. Kawasan yang melindungi ratusan penduduk yang kehilangan tempat tinggal. Berikutan serangan itu beberapa individu mati dan cedera.

Agensi berita rasmi WAFA berkata, lebih 30 individu terbunuh dalam serangan ke atas tiga buah rumah di kem pelarian Jabalia.

Kementerian Kesihatan Gaza berkata serangan darat Israel menyasarkan kemudahan perubatan telah menyukarkan pengumpulan maklumat berkenaan angka korban di utara Gaza.

Pekerja penyelamat percaya beberapa mangsa masih tertimbus di bawah runtuhan di beberapa kawasan tersebut.

Penduduk Gaza juga melaporkan pertempuran dan pengeboman yang dahsyat dikawasan selatan Sheijaia, Sheikh Radwan, Zeitoun, Tuffah dan Beit Hanoun, dan di tengah, timur dan utara Khan Younis.

"Kami mendengar bunyi letupan dan tembakan dari semua arah," kata Ahmed, 45, seorang juruelektrik dan bapa kepada enam anak, kepada Reuters. Dia berada di pusat perlindungan di tengah Gaza.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI