fb fb fb fb fb

Israel lancar serangan skala besar ke bandar Tulkarm

Foto fail/AFP)

TULKARM, 16 Disember- Tentera penceroboh Israel memulakan serangan besar-besaran ke bandar Tulkarm di Tebing Barat malam tadi, menurut sumber tempatan.

Agensi berita tempatan, WAFA melaporkan bahawa kontinjen tentera Israel bersama jentera berat menceroboh bandar itu yang disifatkan sebagai serangan tentera berskala besar.

Serbuan tentera itu diperhebat dengan menggunakan dron peninjau terhadap bandar dan kem pelarian di sekelilingnya pada jarak rendah, mewujudkan suasana yang tidak menentu.

Israel telah memperhebat dasar serangan tentera ke bandar, pekan, kampung dan kem pelarian Palestin di Tebing Barat, sejak konflik Israel-Palestin 7 Oktober lalu.

Sementara itu, menurut pihak keselamatan Palestin, seorang kanak-kanak maut ditembak dan dua orang lelaki cedera akibat serangan Israel di kem pelarian Deir Ammar, barat laut Ramallah di Tebing Barat.

Tentera Israel bertindak menyerbu kem pelarian Deir Ammar dan menyerang penduduk tempatan yang membantah serbuan ke bandar itu.

"Akibatnya, tiga warga tempatan termasuk kanak-kanak yang dikenali sebagai Atallah Ziad Badaha, 16, terkena tembakan. Kanak-kanak itu, yang ditembak di dada, disahkan meninggal dunia akibat kecederaan kritikal beberapa minit kemudian", katanya.

Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin bertindak melakukan CPR (Pernafasan Resutasi Kardiopulmonari) terhadap kanak-kanak yang cedera parah itu dalam usaha menyelamatkan nyawanya sebelum dia disahkan meninggal dunia akibat kecederaan yang dialaminya.

 

ROSLINA BINTI DIN