fb fb fb fb fb

Tentera Israel tembak dua beranak agama Kristian di sebuah gereja

Seorang lelaki menghiasi pokok Krismas di luar Gereja Roman Katolik di Bandar Gaza/FOTO FAIL AFP

BAITULMAQDIS, 17 Disember - Tentera Israel menembak mati dua beranak beragama Krisitian di sebuah gereja Katolik di Bandar Gaza semalam.

Ketua Patriarki Latin di Baitulmaqdis berkata, dalam kejadian kira-kira 10 pagi waktu tempatan itu, penembak tepat zionis Israel telah membunuh seorang warga emas wanita dan anak perempuanya.

Anak-beranak itu dilaporkan tinggal di gereja yang dijadikan sebagai tempat perlindungan sejak tercetusnya serangan rejim zionis Israel pada 7 Oktober lalu.

"Nahida dan anak perempuannya Samar ditembak dan dibunuh ketika mereka sedang berjalan menuju ke gereja itu.

"Seorang terbunuh ketika dia cuba untuk menyelamatkan yang lain," katanya.

Dalam pada itu, tujuh lagi cedera akibat tembakan ketika mereka cuba melindungi orang lain.

Patriarki berkata tiada amaran dikeluarkan sebelum berlakunya tembakan.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan kereta kebal Israel juga memusnahkan generator dan bekalan bahan api dan sebuah bangunan menempatkan 54 orang kurang upaya yang berlindung di gereja itu.

"Seramai 54 orang OKU kini hilang tempat tinggal dan tidak mempunyai akses kepada alat pernafasan yang mana sebahagian daripada mereka bergantung kepada alat tersebut demi kelangsungan hidup," katanya.

Menurut agensi akhbar Vatican, serangan itu turut mencederakan tiga yang lain.

Sementara itu diplomat tertinggi Itali, Antonio Tajani menerusi hantaran di X menggesa Israel dan tenteranya untuk melindungi tempat ibadat penganut Kristian.

Antonio sekali gus menafikan bahawa rumah ibadat itu bukan tempat persembunyian kumpulan pejuang Hamas.

Kementerian kesihatan di Semenanjung Gaza berkata sehingga kini angka korban mencecah 18,800 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak di wilayah Palestin. - AFP

GRACE AISYAH KEDAYAN