BEIRUT, 11 Oktober- Sekurang-kurangnya 22 orang terbunuh dalam serangan udara Israel di kawasan padat penduduk di Beirut.
Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan Lubnan, serangan musuh ke atas ibu kota Beirut malam tadi juga menyebabkan 117 orang mengalami kecederaan.
Israel terus mengebom pinggir selatan Beirut sepanjang dua minggu lalu, tetapi serangan semalam merupakan yang ketiga berlaku di pusat bandar.
Sumber keselamatan Lubnan memberitahu AFP bahawa Israel cuba membunuh seorang pegawai Hizbullah yang sering berada di lokasi yang disasarkan, namun tidak jelas sama ada pegawai itu termasuk dalam kalangan mangsa yang terkorban.
Agensi Berita Kebangsaan Lubnan (NNA) melaporkan bahawa serangan tersebut turut menjejaskan kawasan kejiranan Nweiri dan Basta.
“Serangan pertama di Beirut menyasarkan tingkat ketiga sebuah bangunan lapan tingkat di kawasan Nweiri, sementara serangan kedua pula mengenai sebuah bangunan empat tingkat di al-Basta al-Fouqa.
"Anggota bomba berusaha memadamkan kebakaran di sebuah bangunan kediaman yang terkena serangan di kawasan Nweiri, dan penduduk di tingkat atas dipindahkan menggunakan tangga,” lapor NNA.
Wartawan AFP melaporkan bahawa dua bangunan lama telah runtuh di kawasan Basta.
Pasukan penyelamat dan penduduk tempatan sedang berusaha mengeluarkan mangsa dari timbunan runtuhan.- AFP
BERITA BERKAITAN: