SEOUL, 26 Mac- Sekurang-kurangnya 16 orang terkorban akibat kebakaran hutan yang melanda kawasan tenggara Korea Selatan.
Kebakaran hutan yang merebak di kawasan tenggara Korea Selatan memusnahkan kawasan kejiranan dan memaksa ribuan penduduk meninggalkan kediaman serta pihak berkuasa memindahkan ratusan banduan dari penjara.
Menurut Kementerian Keselamatan, setakat 5.00 pagi ini, seramai 12 orang terkorban akibat kebakaran hutan yang bermula dari daerah Uiseong, manakala empat lagi kematian terlibat dengan kebakaran lain di daerah Sancheong.
Sementara itu, Pemangku Presiden Han Duck-soo, berkata kerajaan akan menghantar helikopter pemadam kebakaran dan petugas penyelamat untuk memadamkan api yang semakin marak akibat angin dan cuaca kering.
Cuaca kering dijangka berterusan di kawasan yang dilanda kebakaran.
Menurut pakar bencana hutan, Institut Sains Hutan Negara, Lee Byung-doo, perubahan iklim dijangka menjadikan kebakaran hutan lebih kerap kerana kebakaran hutan yang melanda sebahagian Los Angeles pada Januari lalu dan kebakaran baru-baru ini di timur laut Jepun masih tergolong dalam kejadian yang jarang berlaku.
"Kebakaran di Uiseong, yang tidak terkawal dan lebih buruk disebabkan oleh angin kencang, menunjukkan skala dan kelajuan yang tidak dapat dibayangkan", kata Lee.
"Kita perlu mengakui bahawa kebakaran hutan berskala besar akan meningkat dan kita perlu menyediakan lebih banyak sumber dan tenaga kerja," katanya kepada stesen televisyen tempatan.
Agensi Berita Yonhap melaporkan mangsa termasuk empat orang yang cuba melarikan diri, namun kenderaan mereka terbalik, tiga maut orang maut dan seorang cedera.
Kebakaran yang tercetus pada Sabtu lalu di Uiseong masih belum dapat dikawal sepenuhnya serta telah memusnahkan kuil-kuil lama dan banyak rumah kediaman.
Kerajaan telah mengisytiharkan kawasan yang terjejas sebagai zon bencana khas serta lebih 15,000 hektar (37,065 ekar) tanah terjejas.-AFP