
KUANTAN, 14 September- YPM FC muncul juara sulung Liga Bola Sepak Rakyat Pahang 1st selepas menewaskan Majlis Daerah Raub FC 2-1 pada aksi akhir di Stadium Darul Makmur di sini semalam.
- YPM FC membawa pulang Piala Al-Sultan Abdullah dan wang tunai RM40,000.
- Dua gol dijaringkan Wan Muhammad Akmal Hakim Wahab (minit ke-13) dan Nasyrullah Mohd Zaki (minit ke-40).
- Liga menerima 105 pasukan dan 2,600 pemain bawah 19; penganjuran akan diteruskan untuk mencungkil bakat baharu.
Kemenangan itu membolehkan YPM FC membawa pulang Piala Al-Sultan Abdullah dan wang tunai RM40,000 selepas menampilkan aksi bertenaga serta menjaringkan dua gol menerusi Wan Muhammad Akmal Hakim Wahab pada minit ke-13 dan Nasyrullah Mohd Zaki pada minit ke-40.
Gol tunggal Majlis Daerah Raub FC diperoleh pada babak kedua perlawanan menerusi Zaiful Zakwan Arnain pada minit ke-80.
Perlawanan itu dimeriahkan dengan keberangkatan Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Timbalan Menteri Ekonomi merangkap Ahli Parlimen Paya Besar Datuk Seri Mohd Shahar Abdullah dan Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan negeri Datuk Fadzli Mohamad Kamal.
Datuk Seri Wan Rosdy ketika ditemui berkata kejohanan itu akan diteruskan pada tahun hadapan bagi mencungkil bakat baharu untuk Pahang selain menjadi platform dalam usaha mengembalikan kecemerlangan pasukan Tok Gajah dalam arena bola sepak negara.
Beliau berkata sambutan terhadap penganjuran edisi sulung berkenaan sangat baik dan pihaknya akan melakukan penambahbaikan pada kejohanan akan datang.
“Apa sahaja yang kami lakukan, mesti lebih baik daripada sebelumnya. Jadi, mungkin pada tahun depan kami akan memperkenalkan beberapa kategori tertentu,” katanya.
Selain itu, beliau berkata liga ini turut mendapat penglibatan daripada pelbagai lapisan masyarakat, tanpa mengira bangsa mahupun latar belakang yang berhimpun sebagai sebuah keluarga yang besar.
Liga yang bermula sejak 6 Jun itu menerima penyertaan 105 pasukan dari seluruh negeri, dengan penglibatan 2,600 pemain muda bawah 19 tahun. -BERNAMA