
MEXICO CITY, 31 Oktober – Max Verstappen mengkritik rakan sepasukan di Red Bull, Liam Lawson sebagai “tidak begitu bijak” susulan insiden pelanggaran ketika sesi latihan pada Jumaat yang menyaksikan kedua-dua pelumba dikenakan penalti penurunan satu petak pada perlumbaan Grand Prix (GP) Mexico.
- Charles Leclerc mencatat masa terpantas, diikuti Lando Norris dalam sesi latihan penuh insiden.
- Perlanggaran antara Verstappen dan Lawson merosakkan badan kereta Verstappen, menyebabkan serpihan dan bendera merah.
- Lawson tidak pasti masa depannya tetapi kekal konsisten; kini berada di tangga kesembilan dengan 77 mata.
Pelumba Ferrari, Charles Leclerc mencatat masa terpantas, diikuti juara dunia dari McLaren, Lando Norris dalam sesi yang berlangsung penuh insiden itu.
Kimi Antonelli pula menamatkan sesi di tempat keempat ketika semakin menghampiri perebutan gelaran kejuaraan.
Verstappen, juara dunia lima kali dari Red Bull, terbabit dalam insiden dengan Lawson yang mewakili Racing Bulls ketika kedua-duanya bersaing mendapatkan kedudukan di litar menuju ke bahagian Foro Sol.
Insiden itu menyebabkan bahagian badan jentera Verstappen mengalami kerosakan.
Pelumba dari Belanda itu mendakwa Lawson menjadi punca kejadian berhampiran selekoh ke-12 apabila pertembungan kecil antara mereka menyebabkan serpihan bertaburan di litar, sekali gus memaksa sesi dihentikan sementara menerusi bendera merah bagi membolehkan kawasan berkenaan dibersihkan.
“Ia bukan nasib malang. Tindakannya ketika cuba melakukan perkara itu memang tidak begitu bijak. Namun, ia tidak akan mengubah perjalanan hujung minggu saya,” kata Verstappen.
Kedua-dua pelumba dipanggil menghadap pegawai perlumbaan yang mendapati tindakan mereka sebagai tidak boleh diterima sebelum mengenakan penalti berkenaan.
“Saya fikir tindakan itu memang tidak begitu bijak, lebih-lebih lagi ketika anda sedang berusaha mempertahankan tempat dalam pasukan,” kata Verstappen.
Kenyataan itu merujuk kepada pengakuan Lawson minggu ini bahawa beliau tidak pasti sama ada akan kekal bersama Racing Bulls musim depan, meskipun menunjukkan prestasi memberangsangkan bersama pasukan saudara Red Bull itu.
Racing Bulls dilaporkan berkemungkinan menaikkan pelumba akademi Red Bull, Nikola Tsolov, yang mencipta sejarah pada Jumaat sebagai pelumba Bulgaria pertama menyertai sesi latihan rasmi GP apabila beraksi dalam sesi latihan bebas pertama (FP1).
Lawson bagaimanapun menunjukkan prestasi konsisten sepanjang musim ini dan jauh mengatasi rakan sepasukan yang juga pelumba baharu, Arvid Lindblad.
Pada Khamis, beliau memberitahu media bahawa mengekalkan konsistensi dalam Formula 1 (F1) bukan sesuatu yang mudah, namun percaya dirinya sudah memberikan prestasi terbaik sepanjang musim ini.
“Saya tidak begitu pasti apa lagi yang diharapkan daripada saya, tetapi saya juga tidak terlalu memikirkan soal pemilihan pelumba untuk musim depan.
“Tahun lalu saya terlalu memikirkan perkara itu. Jadi, tahun ini saya cuba mengubah pendekatan dengan memberikan tumpuan untuk mengutip sebanyak mungkin mata,” katanya.
Lawson kini berada di tangga kesembilan kejuaraan pelumba dengan 77 mata, manakala Lindblad di kedudukan ke-11 dengan 38 mata.
Prestasi Lawson turut membantu Racing Bulls menduduki tangga kelima kejuaraan di belakang empat pasukan utama, Mercedes, Ferrari, Red Bull dan McLaren.
Lawson menamatkan sesi latihan bebas kedua (FP2) pada Jumaat di tempat kesembilan, manakala Verstappen di kedudukan kelima, di belakang pelumba Mercedes, George Russell dan Antonelli, pelumba muda Itali berusia 20 tahun.
Antonelli berpeluang menjadi juara dunia termuda sukan itu pada Ahad sekiranya berjaya menamatkan perlumbaan dalam kelompok sembilan teratas.
Verstappen, yang pernah memenangi GP Mexico sebanyak lima kali, mengakui prestasinya boleh dipertingkatkan menjelang perlumbaan.
“Ia boleh menjadi lebih baik, tetapi kami tidak terlalu jauh ketinggalan dan hanya perlu melakukan sedikit penyesuaian.
“Tiada siapa mempunyai cengkaman yang baik di litar ini, namun keadaan itu sama untuk semua pelumba dan bukan sesuatu yang baharu,” katanya.- AFP
– AFP