
KUALA LUMPUR 31 Oktober – Sukan dilihat sebagai medium penting untuk merapatkan jurang antara unit dan jabatan, sekali gus memupuk persefahaman serta memperkukuh semangat kerjasama dalam usaha melaksanakan agenda reformasi di Radio Televisyen Malaysia (RTM).
- Aktiviti sukan platform untuk meningkatkan pemahaman peranan, tanggungjawab dan cabaran setiap unit.
- Sukan perlu dibudayakan untuk menggalakkan gaya hidup sihat terutamanya semasa negara menuju masyarakat menua.
- Perlu beri perhatian terhadap kesejahteraan hidup termasuk kesihatan mental dan fizikal untuk kualiti hidup lebih baik.
- Kejohanan Pingpong di Angkasapuri julung kali diadakan dan akan diteruskan sebagai acara tahunan.
Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Ashwad Ismail berkata, aktiviti sukan berperanan sebagai platform untuk merapatkan hubungan antara bahagian dalam organisasi, sekali gus meningkatkan pemahaman terhadap peranan, tanggungjawab dan cabaran yang dihadapi setiap unit.
“Saya berpendapat aktiviti sukan perlu terus dibudayakan bagi menggalakkan gaya hidup sihat, lebih-lebih lagi ketika negara sedang menuju ke arah masyarakat menua.
“Sehubungan dengan itu, kita perlu memberikan perhatian terhadap kesejahteraan hidup, kesihatan mental dan kesihatan fizikal bagi memastikan masyarakat dapat menjalani kehidupan yang lebih berkualiti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika hadir merasmikan Kejohanan Pingpong Piala Ketua Pengarah Penyiaran RTM di Angkasapuri Kota Media di sini.
Selain itu beliau berharap untuk melihat keseluruhan warga kerja terus mengamalkan gaya hidup sihat melalui sukan, di samping mengukuhkan perpaduan dalaman organisasi.
Sementara itu Pengurus Kelab Ping Pong Angkasapuri Azmanizam Abdul Aziz pula berkata, pertandingan itu merupakan julung kali diadakan bagi memupuk semangat kesukanan dalam kalangan warga RTM melalui sukan.
Berdasarkan sambutan yang menggalakkan daripada peserta dan penaja pada kali ini, kejohanan ini akan diteruskan sebagai acara tahunan pada masa akan datang.