Usia bukan penghalang Khairul Fahmi beraksi, sedia bantu Melaka FC

Khairul Fahmi Che Mat (Apek)/ MFC

MELAKA, 15 Ogos – Faktor usia bukan penghalang buat penjaga gol Melaka FC (MFC) Khairul Fahmi Che Mat untuk terus beraksi di pentas Liga Super, malah beliau percaya masih mampu menyumbang kepada pasukan untuk beberapa tahun akan datang.

RINGKASAN BERITA AI
  • Khairul Fahmi bersedia memainkan peranan sebagai pemain senior membantu Melaka FC menghadapi saingan Liga Super.
  • Pasukan menyasarkan tempat enam terbaik; Fahmi akui cabaran sukar namun pemain akan berusaha bersaing dengan kelab besar.
  • MFC mengekalkan enam pemain import, menambah tiga import baharu, dan memperkenalkan jersi merah home serta biru cair away.

Bekas penjaga gawang kebangsaan yang kini berusia 37 tahun itu berkata sebagai penjaga gol, faktor usia tidak semestinya menjadi batasan untuk meneruskan karier selagi disiplin serta kecergasan fizikal sentiasa diberi perhatian.

“Sebagai penjaga gol saya rasa tidak ada masalah untuk saya bekerja sampai umur 40 lebih. Kalau kita lihat di Piala Dunia pun masih ada penjaga gol yang berusia lebih 40 tahun yang masih beraksi.

“Cuma kita perlukan disiplin untuk mengekalkan fizikal,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Jersi Baharu dan Pengenalan Pemain MFC serta Majlis Makan Malam sempena Kejohanan Empat Penjuru Antarabangsa merebut Piala Gabenor Melaka di Ayer Keroh, di sini malam tadi.

Majlis itu disempurnakan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam dan turut dihadiri Tunku Besar Tampin Tunku Syed Razman Ibni Almarhum Tunku Syed Idrus Al Qadri dan pemilik MFC Datuk Nur Azmi Ahmad.

Khairul Fahmi yang lebih dikenali dengan panggilan ‘Apek’ berkata sebagai seorang daripada pemain senior dalam skuad MFC, beliau bersedia memainkan peranan membantu pasukan menghadapi saingan Liga Super 2026/2027.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada pihak pengurusan MFC atas kepercayaan diberikan kepadanya untuk berkhidmat di Melaka musim ini, selain berusaha merealisasikan sasaran pasukan dan memberikan yang terbaik bersama rakan-rakan.

Mengenai sasaran menamatkan saingan dalam kelompok enam terbaik, Khairul Fahmi berkata perkara itu merupakan sasaran pengurusan dan para pemain perlu berusaha untuk mencapainya.

Bagaimanapun, beliau mengakui cabaran tersebut bukan mudah, namun pasukan akan sedaya upaya bersama rakan sepasukan untuk memberikan saingan kepada pasukan-pasukan besar dan pasukan yang membelanjakan bajet besar dalam Liga Super.

Mengulas masa depannya bersama Melaka, Khairul Fahmi berkata masih terlalu awal untuk menentukan sama ada pasukan itu akan menjadi kelab terakhir dalam kariernya, kerana musim baharu juga belum bermula.

“Masih terlalu awal untuk saya katakan sebab musim pun belum bermula. Kita tengok untuk musim ini macam mana kerana saya pun tidak boleh pasti apa yang akan berlaku pada masa hadapan,” katanya.

Selain menggabungkan pemain muda dan berpengalaman, MFC turut mengekalkan enam pemain import musim ini iaitu Ozor Michael Onyekachi (Nigeria), Do Dong-hyun dan Park Kwang-il (Korea Selatan), Agbre Noel (Ivory Coast), Argzim Redzovic (Montenegro) serta Dino Kalesic (Bosnia dan Herzegovina).

Tiga lagi pemain import baharu ialah Coulibaly Abdul Kader (Kemboja), Hein Htet Aung (Myanmar) dan Christian de Souza Andre (Brazil).

Pada majlis itu Melaka FC memperkenalkan jersi merah untuk home dan biru cair sebagai jersi away.

MFC bawah kendalian Ketua Jurulatih E. Elavarasan itu dijadual memulakan saingan Liga Super 2026/2027 menentang Terengganu di tempat lawan pada 22 Ogos ini.- BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.