Trafford tinggalkan Man City demi kesihatan mental

Penjaga gol Leeds United, James Trafford

LONDON, 7 November – Penjaga gol Leeds United, James Trafford mengakui keputusan meninggalkan Manchester City dibuat selepas berdepan kesukaran mendapatkan peluang beraksi secara konsisten, sekali gus menjejaskan kesejahteraan mentalnya.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tidak beraksi secara tetap musim lalu menyebabkan kekecewaan dan gangguan perkembangan sebagai pemain.
  • Kembali ke City pada Julai 2025 selepas dua tahun bersama Burnley.
  • Kedatangan Gianluigi Donnarumma mengurangkan peluangnya; hanya beberapa penampilan Liga Perdana.
  • Mahu peluang berterusan untuk menjaga kesejahteraan mental dan mengejar status penjaga gol nombor satu England.

Trafford berkata, tidak beraksi secara tetap sepanjang musim lalu adalah pengalaman yang amat mengecewakan, terutama ketika beliau mahu terus berkembang sebagai pemain profesional.

Beliau berkata demikian ketika ditemu bual menerusi program The Football Interview terbitan BBC.

Pemain berusia 24 tahun itu kembali menyertai City pada Julai 2025 selepas meninggalkan kelab berkenaan dua tahun sebelum itu untuk bersama Burnley.

Bagaimanapun, ketibaan penjaga gol Itali, Gianluigi Donnarumma dari Paris Saint-Germain kurang enam minggu kemudian menyaksikan Trafford kehilangan tempat dalam kesebelasan utama.

Selepas memulakan tiga perlawanan pertama musim itu, beliau hanya membuat satu lagi penampilan dalam saingan Liga Perdana Inggeris.

Trafford berkata, beliau perlu mendapatkan peluang beraksi secara konsisten demi menjaga kesejahteraan mental serta memastikan perkembangan kariernya tidak terjejas.

Beliau turut mengakui pengalaman bersama City tetap memberikan banyak pengajaran apabila membantu kelab itu menjulang Piala Liga dan Piala FA dalam tempoh setahun.

Dalam perkembangan sama, Trafford menyasarkan untuk menjadi penjaga gol nombor satu England pada masa depan selepas menyertai skuad negara itu ke Piala Dunia 2026.

Beliau percaya peluang merealisasikan impian itu terbuka sekiranya mampu mengekalkan prestasi cemerlang bersama Leeds United.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.