Sukan permotoran berpotensi rancakkan ekonomi Labuan

Sukan permotoran Test & Tune: Labuan Motorsport Festival 2026 di Kiansam, Labuan berlangsung lima hari bermula 4 hingga 8 November/Foto RTM Labuan

LABUAN, 7 November – Hampir 200 peserta menyertai Test & Tune: Labuan Motorsport Festival 2026 yang berlangsung di Kiansam, Labuan sejak 4 November lalu, sekali gus membuka dimensi baharu sektor pelancongan sukan permotoran di pulau itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sukan permotoran wajar disokong kerana berpotensi menarik peminat tempatan dan antarabangsa.
  • Kedudukan strategik Labuan memberi kelebihan menarik penyertaan dari pelbagai destinasi.
  • Penganjuran mampu jadi produk pelancongan baharu, meningkatkan kunjungan dan membuka peluang ekonomi kepada penduduk setempat.

Penganjuran julung kali itu membabitkan dua kategori iaitu motosikal dan kereta, dengan penyertaan dari Sabah, Sarawak, Semenanjung serta Brunei Darussalam.

Pengerusi Majlis Penasihat GIATMARA Labuan, Datuk Mohd Rafi Datuk Alli Hassan berkata, acara sukan permotoran seumpama itu wajar diberi sokongan kerana berpotensi menarik lebih ramai peminat sukan berkenaan dari dalam dan luar negara.

Katanya, kedudukan strategik Labuan turut memberi kelebihan dalam menarik penyertaan peserta dari pelbagai destinasi.

“Inilah yang kita mahukan. Selain dikenali sebagai pulau bebas cukai, penganjuran sukan permotoran seperti ini juga mampu membantu meningkatkan ekonomi rakyat Labuan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program berkenaan di Kiansam, Labuan hari ini.

Menurutnya, sukan permotoran mempunyai kelompok peminat daripada pelbagai peringkat umur dan bukan hanya tertumpu kepada golongan muda.

Program yang berlangsung sehingga esok itu diharap dapat diperluas sebagai produk pelancongan baharu Labuan, sekali gus meningkatkan kunjungan pelawat dan membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada penduduk setempat.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.