Sukan SEA 2027: Fasiliti sukan Pulau Pinang kini 90 peratus siap

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow (tengah) pada Majlis Penyerahan Insentif Skim Kemenangan Sukan Para ASEAN Thailand 2025 dan Penyerahan Watikah Pelantikan Jawatankuasa Pengelola Induk Sukan SEA Malaysia 2027./foto BERNAMA

GEORGE TOWN, 13 April – Pembangunan fasiliti sukan di Pulau Pinang kini merekodkan kemajuan signifikan apabila 90 peratus daripada projek yang dirancang dilaporkan telah siap dibina.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pulau Pinang dipilih sebagai salah satu kluster penganjur Sukan SEA Malaysia 2027.
  • Fasiliti bertujuan menyokong pembangunan atlet dan menggalakkan gaya hidup aktif dalam kalangan komuniti.
  • Pendekatan sains sukan, latihan berstruktur dan pendedahan kompetisi memperkasakan atlet, menghasilkan kejayaan termasuk di Para ASEAN.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, perkembangan positif itu merupakan sebahagian daripada persediaan awal negeri berkenaan yang dipilih sebagai salah satu kluster penganjur bagi Sukan SEA Malaysia 2027.

Langkah tersebut secara tidak langsung dilihat mampu menyokong program pembangunan atlet, selain menggalakkan amalan gaya hidup aktif dalam kalangan rakyat di seluruh negeri.

Jelas beliau, penyediaan fasiliti tersebut bukan sahaja tertumpu kepada sukan berprestasi tinggi, malah bertujuan memberi manfaat kepada komuniti setempat melalui akses kemudahan yang lebih berkualiti dan menyeluruh.

“Langkah ini sekali gus mencerminkan momentum kukuh dalam memperkasa ekosistem atlet yang inklusif dan bersepadu di negeri ini.

“Serentak dengan itu, pembangunan atlet berprestasi tinggi terus diperkasa melalui pendekatan sains sukan, latihan berstruktur, serta pendedahan kepada kompetisi di pelbagai peringkat.

“Hasilnya, atlet negeri berjaya melakar kejayaan membanggakan, termasuk di pentas Para ASEAN,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Insentif Skim Kemenangan Sukan (Skimas) Para ASEAN Thailand 2025 dan Penyerahan Watikah Pelantikan Jawatankuasa Pengelola Induk Sukan SEA Malaysia 2027 di Komtar, hari ini.