
KUALA LUMPUR, 17 Julai – Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) meletakkan sasaran dua pingat untuk dibawa pulang kem berbasikal trek negara pada Sukan Komanwel Glasgow 2026 yang dijadual bermula 23 Julai hingga 2 Ogos ini.
- PKBM tidak menyatakan warna pingat supaya tidak memberi tekanan berlebihan kepada pelumba.
- Azizulhasni, Muhammad Shah Firdaus untuk keirin lelaki; Nurul Izzah Izzati untuk ujian masa 1 kilometer wanita.
- Pengarah Teknikal John Beasley sahkan persiapan para pelumba berjalan lancar dan mereka sudah bersedia.
- MoU dengan Persekutuan Berbasikal Kazakhstan kukuhkan kerjasama latihan, pertukaran atlet jurulatih, pembangunan teknikal dan program berprestasi tinggi.
Presiden PKBM Datuk Amarjit Singh Gill berkata sandaran pingat diletakkan kepada jaguh berbasikal trek Datuk Mohd Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom bagi acara keirin lelaki serta Nurul Izzah Izzati Mohd Asri dalam acara 1 kilometer (km) ujian masa wanita pada saingan berlangsung di Velodrom Sir Chris Hoy.
Amarjit berkata pihaknya meletakkan sasaran pingat tanpa warna bagi mengelakkan tekanan berlebihan kepada pelumba sewaktu menggalas tugas negara pada temasya sukan empat tahun sekali itu.
“Saya rasa tidak adil untuk saya mengatakan sesuatu (sasaran spesifik) dan memberi tekanan kepada atlet. Seperti yang saya beritahu sebelum ini, saya pernah kata kita akan dapat satu emas di Paris 2024 (Sukan Olimpik) dan saya rasa itu satu tekanan.
“Jadi saya hanya akan kata dua pingat, saya tidak akan sebut warna. Saya rasa itu lebih adil untuk pasukan, supaya tidak meletakkan sebarang tekanan tambahan kepada mereka,” katanya selepas majlis pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara PKBM dan Persekutuan Berbasikal Kazakhstan di sini, hari ini.
Tanpa tekanan berlebihan di bahu pelumba, Amarjit optimis mereka mampu melakukan yang terbaik dalam misi mengharumkan nama negara di Sukan Komanwel kali ini di Scotland.
Berdasarkan maklumat daripada Pengarah Teknikal Skuad Berbasikal Negara John Beasley, Amarjit berkata persiapan para pelumba berjalan lancar dan mereka sudah bersiap sedia mengharungi cabaran.
Sebanyak 59 atlet termasuk atlet para negara akan mengambil bahagian dalam lapan daripada keseluruhan 10 sukan yang dipertandingkan di Glasgow 2026 antaranya renang, berbasikal trek, olahraga, angkat berat dan boling padang, selain enam sukan para yang dipertandingkan secara bersepadu.
Sebagai rekod, Malaysia meraih tujuh pingat emas, lapan perak dan lapan gangsa pada edisi 2022 di Birmingham, England.
Muhammad Shah Firdaus muncul wakil tunggal berbasikal trek negara menyumbang pingat menerusi gangsa keirin lelaki pada Sukan Komanwel 2022.
Dalam pada itu, Amarjit berkata MoU antara PKBM dan Persekutuan Berbasikal Kazakhstan mencerminkan komitmen kedua-dua pihak memperkukuh kerjasama dalam pelbagai aspek pembangunan termasuk pertukaran atlet dan jurulatih, pembangunan pegawai teknikal dan komisar, pendidikan kejurulatihan, program berprestasi tinggi serta penganjuran kem latihan.
Setiausaha Agung Persekutuan Berbasikal Kazakhstan Zhetes Sulemanov pula menyambut baik kerjasama tersebut serta yakin ia akan membawa manfaat buat kedua-dua organisasi sekali gus menjadi asas kepada hubungan yang kukuh dan berkekalan. – BERNAMA