
CHONGQING, 17 Julai – Sekurang-kurangnya tujuh individu berjaya diselamatkan susulan beberapa bangunan kediaman di sepanjang Sungai Wujiang, Chongqing, barat daya China, roboh dalam kejadian tanah runtuh yang berlaku pagi tadi.
- Tanah runtuh berlaku kira-kira pukul 9.08 pagi di Subdaerah Hanjia, Daerah Pengshui, Chongqing, meruntuhkan beberapa bangunan kediaman.
- Anggota bomba dikerahkan untuk operasi mencari dan menyelamat; angka individu tertimbus masih belum dapat dipastikan.
- Rakaman dashcam menunjukkan cerun runtuh menghempap kediaman dan premis perniagaan serta menutupi jalan, mengganggu kenderaan.
Menurut media tempatan, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 9.08 pagi waktu tempatan di Subdaerah Hanjia, Daerah Pengshui dan angka individu yang masih tertimbus dan terperangkap dalam kejadian itu masih belum dapat dipastikan.
Rakaman yang disiarkan penyiar rasmi China menunjukkan anggota bomba dikerahkan ke lokasi bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat.
Sementara itu, rakaman kamera papan pemuka (dashcam) yang tular di media sosial memaparkan sebahagian cerun bukit runtuh lalu menghempap kediaman dan premis perniagaan di kawasan bawah.
Runtuhan turut menutupi jalan raya sehingga memaksa beberapa kenderaan dan sebuah motosikal berhenti bagi mengelak kejadian lebih buruk.
Pihak berkuasa memaklumkan, pemeriksaan awal mendapati seorang petugas komuniti di Daerah Pengshui mengesan batu-batu kecil jatuh dari cerun sekitar 8.00 pagi waktu tempatan, sebelum amaran kecemasan dikeluarkan kepada penduduk.
Bagaimanapun, punca kejadian masih dalam siasatan. Menurut media rasmi China, beberapa bangunan kediaman runtuh akibat kejadian itu, manakala jumlah sebenar mangsa yang masih terperangkap belum dapat dipastikan.- REUTERS