
NAGOYA, 19 September – Penganjur Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 memohon maaf atas kesilapan memainkan lagu kebangsaan Korea Utara untuk pasukan hoki lelaki Korea Selatan sebelum perlawanan menentang Bangladesh, pada Jumaat.
- Lagu kebangsaan Bangladesh dimainkan terlebih dahulu, diikuti lagu Korea Utara, menyebabkan pemain Korea Selatan kelihatan kebingungan.
- Lagu kebangsaan Korea Selatan akhirnya diperdengarkan sebelum perlawanan bermula.
- Jurulatih Min Tae-seok menyifatkan insiden sebagai perkara serius, tetapi Korea Selatan menang 5-0.
- Temasya turut menerima aduan pengurusan, kualiti makanan, dan kelewatan sehingga enam jam di lapangan terbang.
Kesilapan itu berlaku ketika lagu kebangsaan kedua-dua pasukan dimainkan sebelum perlawanan.
Lagu kebangsaan Bangladesh diperdengarkan terlebih dahulu sebelum lagu Korea Utara dimainkan, menyebabkan pemain Korea Selatan kelihatan kehairanan.
Lagu kebangsaan Korea Selatan kemudian dimainkan sebelum perlawanan bermula.
Penganjur memaklumkan kepada AFP bahawa lagu yang salah dimainkan secara tidak sengaja dan pegawai mereka telah menemui delegasi Korea Selatan untuk memohon maaf.
“Kesilapan ini tidak sepatutnya berlaku dan kami memohon maaf sedalam-dalamnya,” menurut penganjur sambil memberi jaminan langkah susulan akan diambil bagi mengelakkan kejadian sama daripada berulang.
Pengumuman turut dibuat di stadium bagi memohon maaf kepada pasukan Korea Selatan berhubung kesilapan berkenaan.
Jurulatih Korea Selatan, Min Tae-seok, berkata kejadian itu merupakan perkara serius yang tidak sepatutnya berlaku dalam temasya sukan antarabangsa.
Bagaimanapun, insiden berkenaan tidak menjejaskan prestasi Korea Selatan apabila mereka menewaskan Bangladesh 5-0 dalam perlawanan tersebut.
Kejadian itu berlaku ketika penganjuran Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 turut berdepan beberapa aduan dan rungutan berkaitan aspek pengurusan termasuk kualiti dan makanan yang disediakan di penginapan atlet.
Beberapa pasukan juga dilaporkan terkandas di lapangan terbang sehingga enam jam ketika tiba untuk menyertai temasya berkenaan.
Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 berlangsung hingga 4 Oktober dengan penyertaan atlet dari seluruh Asia dalam 43 jenis sukan. – AFP