Mbappe tamatkan kerjasama dengan Nike

Foto REUTERS

PARIS, 19 September – Kapten Perancis, Kylian Mbappe menamatkan kerjasama selama hampir dua dekad dengan Nike untuk menyertai jenama sukan Switzerland yang sedang berkembang pesat, On.

RINGKASAN BERITA AI
  • On berkata struktur kerjasama merangkumi komponen tunai dan ekuiti, tetapi butiran kewangan tidak didedahkan.
  • On merancang melancarkan but bola sepak pertamanya pada 2027 dan melantik Thierry Henry sebagai pengarah bola sepak.
  • Perkembangan beri tekanan kepada Nike, namun ia kekal kukuh di Perancis selepas melanjutkan perjanjian jersi kebangsaan hingga 2033-2034.

Terma kewangan perjanjian itu tidak didedahkan, namun On berkata struktur kerjasama berkenaan merangkumi komponen tunai dan ekuiti tanpa memberikan butiran lanjut.

Perpindahan itu menamatkan hubungan Mbappe dengan Nike yang bermula pada 2006 ketika beliau berusia sembilan tahun.

On, yang mendapat sokongan legenda tenis Roger Federer, merancang melancarkan but bola sepak pertamanya pada 2027 sebagai sebahagian usaha mengembangkan perniagaan melangkaui segmen larian dan tenis.

Syarikat itu turut melantik bekas bintang Perancis, Thierry Henry sebagai pengarah bola sepak bagi mengetuai pengembangan dalam sukan berkenaan.

Perkembangan itu memberi tekanan tambahan kepada Nike yang kebelakangan ini kehilangan beberapa pemain berprofil tinggi kepada jenama pesaing, termasuk bintang muda Sepanyol, Lamine Yamal yang beralih ke Adidas.

Nike bagaimanapun masih mempunyai kedudukan kukuh di Perancis selepas melanjutkan perjanjian pembekalan jersi pasukan kebangsaan negara itu sehingga musim 2033-2034.

Syarikat Amerika Syarikat itu tahun lalu turut kehilangan status sebagai pembekal bola perlawanan Liga Perdana Inggeris selama lebih dua dekad kepada Puma.

Namun berjaya memperoleh kontrak sebagai pembekal rasmi jersi dan kelengkapan pasukan kebangsaan Jerman bermula 2027.

Saham On yang disenaraikan di Amerika Syarikat susut daripada kenaikan awal dagangan prapasaran dan hanya meningkat sedikit pada Jumaat.

Manakala saham Nike tidak banyak berubah, menunjukkan perkembangan itu memberi kesan terhad kepada pelabur.

On kini menyasarkan pertumbuhan di benua Amerika yang menyumbang lebih separuh daripada hasil syarikat, namun berdepan cabaran berikutan corak perbelanjaan pengguna yang tidak menentu di rantau itu tahun ini. – REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.