
VIETNAM, 6 September – Pemain pickleball remaja Malaysia mencipta kejayaan membanggakan apabila meraih tiga pingat pada Kejohanan Pickleball remaja Antarabangsa 2026 Edisi Piala Dunia di Da Nang, Vietnam, hari ini.
- Dzarif Dzakwan Azizul Azhar raih perak dalam perseorangan lelaki Bawah 18 tahun.
- Brandon Basas dan Ethan Chan Kah Jun raih gangsa dalam beregu lelaki Bawah 16 tahun.
- Kim Nardine Marisse Mohd Hakim dan Raessa Ashwad Ismail raih gangsa beregu perempuan Bawah 10 tahun.
- e23 Junior Pro Pickleball Team, dibimbing Gee Ci Long, tunjuk prestasi positif dengan beberapa pemain mara ke pusingan kalah mati.
Malaysia membawa pulang satu pingat perak dan dua gangsa menerusi kategori Bawah 18, Bawah 16 dan Bawah 10 tahun, sekali gus membuktikan potensi besar barisan pemain muda negara dalam persaingan antarabangsa.
Pingat perak disumbangkan Dzarif Dzakwan Azizul Azhar dalam acara perseorangan lelaki Bawah 18 tahun.
Manakala dua pingat gangsa pula hadir menerusi gandingan Brandon Basas-Ethan Chan Kah Jun dalam beregu lelaki Bawah 16 tahun serta Kim Nardine Marisse Mohd Hakim-Raessa Ashwad Ismail dalam beregu perempuan Bawah 10 tahun.
Brandon, Ethan, Kim Nardine dan Raessa beraksi di bawah kendalian pasukan ‘e23 Junior Pro Pickleball Team’.

Pasukan dibawah kendalian, Gee Ci Long yang turut membimbing skuad kebangsaan itu dilihat menampilkan aksi yang positif sepanjang kejohanan.
Kejohanan berkenaan menyaksikan penyertaan pemain muda dari beberapa negara dengan Vietnam dan India antara pencabar utama.
Selain tiga pemenang pingat beberapa pemain e23 turut menampilkan aksi membanggakan apabila mara ke peringkat kalah mati termasuk pusingan 32, pusingan 16 dan suku akhir.
Gandingan beregu perempuan Bawah 12 tahun turut hampir melengkapkan kejayaan Malaysia apabila menamatkan saingan di tempat keempat selepas tewas tipis kepada pasangan dari Vietnam dalam perebutan tempat ketiga.

Pencapaian itu mencerminkan perkembangan positif bakat muda pickleball kebangsaan khususnya menerusi pendedahan kepada persaingan antarabangsa sejak usia awal.
Lebih penting pengalaman berdepan pemain muda dari negara seperti Vietnam dan India menjadi platform penting buat barisan pelapis negara untuk meningkatkan tahap permainan, keyakinan serta kematangan dalam menghadapi kejohanan berintensiti tinggi.
Kejayaan di Da Nang sekali gus mengukuhkan usaha pembangunan pickleball remaja Malaysia menerusi latihan berstruktur, pendedahan kompetitif dan peluang bertanding di peringkat antarabangsa secara berterusan.