Sabah FC benam PDRM FC 5-1 di Stadium Likas

FOTO BERNAMA

KOTA KINABALU, 3 Mei – Sabah FC mempamerkan aksi cemerlang apabila membelasah PDRM FC 5-1 dalam saingan Liga Super Malaysia di Stadium Likas, sekali gus mencatat antara kemenangan terbesar mereka musim ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Juan Torres berpuas hati; pemain laksanakan perancangan, manfaatkan gol awal dan tunjukkan semangat berbeza berbanding musim lalu.
  • Pembantu jurulatih PDRM, Eddy Gapil, akui pasukan beri saingan tetapi kualiti pemain lawan menjadi pemisah utama.
  • Penjaring: Fergus Tierney (min 18, 93), Belfort Kervensfils (41), Duje Ljubic (masa tambahan), Darren Lok (57); PDRM oleh Mohamad Aiman Sufi.
  • Sabah kekal di tangga ke-10 liga; PDRM di kedudukan ke-13. Sabah akan bertemu Brunei DPMM, PDRM bertemu Penang.

Ketua Jurulatih Sabah FC, Juan Torres Garrido berpuas hati dengan persembahan anak buahnya yang berjaya melaksanakan perancangan permainan dengan baik selain memanfaatkan jaringan awal.

“Ini memang sasaran kami ketika merancang perlawanan ini dan saya gembira dengan pemain-pemain kerana mereka tampil dengan semangat berbeza berbanding musim lalu ketika kami sering keletihan akibat jadual padat.

“Namun kali ini keadaannya berbeza, kami berjaya menjaringkan gol awal dan ia menjadikan permainan lebih mudah buat kami berbanding perlawanan lain,” katanya.

Sementara itu, Pembantu Jurulatih PDRM FC, Eddy Gapil @ Edwin pula mengakui pasukannya sudah memberikan saingan terbaik, namun kualiti pemain lawan menjadi pemisah utama.

“Kita cuba bekerja keras, kita cuba beri saingan. Apa yang membezakan kita malam ini adalah kualiti pasukan dan kualiti pemain-pemain yang mereka ada,” katanya.

Sabah FC membuka jaringan menerusi Fergus Tierney pada minit ke-18 sebelum Belfort Kervensfils menggandakan kelebihan pada minit ke-41.

Duje Ljubic kemudian menjadikan kedudukan 3-0 pada masa kecederaan babak pertama.

PDRM FC merapatkan jurang hasil jaringan Mohamad Aiman Sufi Radzai pada minit ke-51, namun Darren Lok menambah gol keempat Sabah FC enam minit kemudian.

Tierney melengkapkan kemenangan bergaya tuan rumah menerusi gol kedua peribadinya pada minit ke-93.

Kemenangan itu menyaksikan Sabah FC kekal di tangga ke-10 liga, manakala PDRM FC di kedudukan ke-13.

PDRM FC dijadual menentang Penang pada 8 Mei, sementara Sabah FC bakal bertemu Brunei DPMM di tempat lawan sehari kemudian.