
KUALA LUMPUR, 10 Jun – Peminat bola sepak di Malaysia berpeluang menyaksikan kesemua 104 perlawanan Piala Dunia 2026 menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Unifi TV.
- Siaran melalui Unifi TV dan saluran RTM di MYTV (TV Okey MYTV 110, Sukan+ MYTV 111).
- RTMKlik menawarkan penstriman percuma melalui aplikasi dan laman web; muat turun di Play Store, App Store, Huawei AppGallery.
- Pengguna digalakkan daftar akaun, kemas kini aplikasi dan pastikan sambungan internet stabil; siaran langsung boleh ditonton semula di RTMKlik.
Menurut soalan lazim (FAQ) yang dikeluarkan penyiar rasmi kejohanan itu, peminat boleh mengikuti siaran penuh menerusi platform Unifi TV serta saluran utama RTM di platform MYTV, iaitu TV Okey (saluran MYTV 110) dan Sukan+ (saluran MYTV 111).
Kejohanan yang dijadual berlangsung di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico itu juga boleh ditonton secara percuma menerusi platform penstriman RTMKlik melalui aplikasi mudah alih dan laman sesawang rasmi RTM.
RTMKlik boleh dimuat turun secara percuma menerusi aplikasi rasmi Play Store Google (Android), Apple App Store (iOS) dan Huawei AppGallery, atau ditonton secara dalam talian melalui laman web rasmi RTMKlik.
Pengguna bebas menstrim siaran di RTMKlik melalui pelbagai peranti termasuk telefon pintar Android dan iOS, komputer riba, komputer peribadi serta televisyen dengan memuat turun aplikasi RTMKlik.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari RTMKlik, manakala soalan lazim berkaitan platform tersebut boleh dirujuk di Soalan Lazim RTMKlik.
Meskpin penonton boleh menonton perlawanan Piala Dunia secara percuma menerusi RTMKlik namun, pengguna digalakkan mendaftar akaun RTMKlik bagi menikmati pengalaman tontonan lebih baik serta akses kepada fungsi tambahan.
Selain itu pengguna juga disarankan memastikan sambungan internet berada dalam keadaan stabil dan menggunakan versi aplikasi terkini RTMKlik. Jadual siaran perlawanan akan dikemas kini dari semasa ke semasa menerusi media sosial rasmi RTM, portal RTM dan aplikasi RTMKlik.
Semua perlawanan dijadualkan disiarkan secara langsung, namun tertakluk kepada perubahan yang akan dimaklumkan dari semasa ke semasa. Bagi peminat yang terlepas siaran langsung, perlawanan tersebut boleh ditonton semula menerusi RTMKlik, tertakluk kepada jadual yang dikemas kini.
RTM turut menyediakan siaran sorotan perlawanan, analisis dan perkembangan terkini sepanjang kejohanan. Siaran tertentu turut disediakan dalam format HD, tertakluk kepada platform dan capaian pengguna. RTM juga menyediakan ulasan dan komentar dalam Bahasa Melayu serta Bahasa Inggeris bagi perlawanan tertentu.
Sepanjang kejohanan berlangsung, RTM akan menyiarkan pelbagai program khas termasuk praperlawanan, analisis, sorotan harian dan perkembangan terkini bagi memastikan peminat tidak terlepas sebarang aksi serta informasi berkaitan Piala Dunia 2026.
Piala Dunia FIFA 2026 merupakan edisi pertama yang menampilkan 48 pasukan dan dijangka menjadi kejohanan terbesar dalam sejarah pertandingan itu.