
KUALA LUMPUR, 3 November – Ketua jurulatih beregu wanita negara, Rosman Razak mahu Pearly Tan-M. Thinaah terus mengekalkan konsistensi prestasi meskipun pasangan itu masih belum mencapai tahap kecergasan sepenuhnya susulan masalah kecederaan.
- Pearly-Thinaah menunjukkan kemajuan, menjuarai Terbuka Denmark dan menjadi naib juara Terbuka Perancis.
- Mara ke empat final tahun ini membuktikan keupayaan mereka bersaing di pentas tertinggi.
- Konsistensi dinilai bukan hanya keputusan tetapi kualiti permainan serta prestasi individu di gelanggang.
- Fokus kepada pengurusan kecergasan dan fizikal untuk elakkan kecederaan berulang; jangan terlalu memikirkan keadaan lawan.
Beliau menyifatkan, pasangan ranking keempat dunia itu berada pada tahap yang semakin baik, dibuktikan menerusi kejayaan menjuarai Terbuka Denmark dan muncul naib juara Terbuka Perancis bulan lalu.
“Sudah tentu kita gembira dengan prestasi Pearly dan Thinaah. Seperti yang saya katakan sebelum ini, mereka masih berdepan masalah kecederaan dan belum mencapai tahap seratus peratus. Namun, saya melihat mereka bekerja keras untuk keluar daripada zon sukar itu.
“Saya tahu ia bukan sesuatu yang mudah, tetapi mereka sudah menunjukkan sedikit kemajuan dan diharapkan perkembangan positif ini dapat diteruskan” katanya ketika ditemui pada sesi latihan skuad badminton negara di Akademi Badminton Malaysia (ABM).
Menurutnya, kejayaan Pearly-Thinaah mara ke empat perlawanan akhir sepanjang tahun ini membuktikan kemampuan mereka untuk terus bersaing di peringkat tertinggi.
Bagaimanapun, Rosman menegaskan konsistensi bukan sekadar diukur berdasarkan keputusan perlawanan, tetapi turut melibatkan kualiti permainan dan prestasi individu di gelanggang.
Beliau berharap pasangan itu dapat mengekalkan prestasi konsisten, namun menegaskan aspek kecergasan perlu diberi perhatian bagi mengelakkan kecederaan berulang.
Tambahnya, isu kecederaan turut membabitkan beberapa pasangan utama dunia dari China dan Korea Selatan yang masih dalam proses pemulihan.
“Kita boleh mengambil kesempatan daripada situasi ini, tetapi saya tidak mahu terlalu memikirkan peluang itu. Kita perlu fokus kepada diri sendiri kerana kita juga berdepan masalah yang sama. Perkara paling penting ialah bagaimana kita mengawal dan mengurus masalah sendiri, bukannya terlalu memikirkan keadaan pihak lawan” katanya.
Pengurusan keadaan fizikal pemain yang berkesan dilihat penting bagi memastikan Pearly-Thinaah mampu mengekalkan prestasi dan terus bersaing secara konsisten di pentas antarabangsa.
Bagi musim ini Pearly-Thinaah turut membuktikan kemampuan mereka menerusi dua gelaran kejuaraan, masing-masing pada Masters Indonesia awal tahun ini dan Terbuka Denmark bulan lalu.
Selepas ini, mereka dijadual beraksi pada Masters Kumamoto dari 10 hingga 15 November, Terbuka Hong Kong dari 17 hingga 22 November, sebelum menutup musim menerusi Jelajah Dunia Akhir di Hangzhou, China dari 9 hingga 13 Disember depan.