Romel Morales tekad bawa TFC ke kelompok tiga pasukan terbaik liga

Romel Morales / BERNAMA

KUALA NERUS, 24 Julai – Penyerang baharu Terengganu FC (TFC) Romel Morales bertekad membawa skuad Penyu kembali ke kelompok tiga teratas Liga Super pada musim ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Morales memilih Terengganu kerana reputasi baik kelab dan sokongan peminat yang kuat.
  • Beliau yakin dengan bimbingan ketua jurulatih Mohd Nafuzi Zain, menyasarkan ke final dan kelayakan pertandingan antarabangsa.
  • Suasana tenang Terengganu membantu penyesuaian Morales dan membolehkan fokus penuh di atas padang.
  • TFC mengukuhkan barisan dengan empat import, seorang naturalisasi dan tiga tonggak tempatan untuk musim 2026/2027.

Pemain naturalisasi berusia 28 tahun itu berkata keputusannya untuk berhijrah ke kelab gergasi Pantai Timur itu didorong oleh reputasi pasukan yang baik serta sokongan peminat bola sepak yang kuat dan berterusan.

Sehubungan dengan itu, beliau yakin dengan bimbingan ketua jurulatih Mohd Nafuzi Zain, skuad Penyu mampu bangkit untuk memperkukuh kedudukan bukan sahaja di persada liga Malaysia, malah melayakkan diri ke pertandingan antarabangsa.

“Saya sudah beraksi dalam banyak perlawanan menentang Terengganu, jadi saya tahu skuad ini pihak lawan yang sukar. Ramai juga penyokong pasukan Terengganu … jadi, kali ini saya ingin beraksi dengan Terengganu.

“Saya ingin membawa Terengganu ke kelompok teratas bersama-sama dengan rakan sepasukan dan pengurusan selain sokongan daripada peminat. Sudah tentu sasaran saya untuk mara ke final dan layak ke beberapa perlawanan antarabangsa,” katanya ketika ditemui Bernama di Kompleks Sukan Gong Badak, dekat sini petang semalam.

Dalam pada itu, Morales yang pernah mewakili pasukan Johor Darul Ta’zim, Kuala Lumpur City FC (KL City FC) dan Melaka United berkata beliau tidak mempunyai masalah untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan di Terengganu yang lebih perlahan dan berbeza dengan bandar-bandar besar.

Malah, pemain kelahiran Colombia itu menyifatkan suasana lebih tenang merupakan satu kelebihan untuk pemain agar lebih fokus dan memberikan sepenuh tumpuan di atas padang.

“Bagi saya, perkara paling penting ialah mempamerkan prestasi terbaik di padang dan saya akan memberikan segalanya untuk Terengganu. Saya berjanji akan memberikan komitmen 100 peratus dalam setiap perlawanan,” katanya yang baru dua hari menjalani latihan bersama dengan pasukan.

Selain Morales, TFC yang berpangkalan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Gong Badak turut merekrut empat pemain import, seorang pemain naturalisasi dan tiga tonggak tempatan sebagai persediaan menghadapi perlawanan Liga Malaysia musim 2026/2027 yang akan bermula pada 22 Ogos ini. – BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.