
GUADALAJARA, 11 Jun – Republik Czech sudah mempunyai perancangan taktikal bagi mengekang ancaman penyerang berbisa Korea Selatan, Son Heung-min pada aksi pembukaan Kumpulan A Piala Dunia pada Jumaat.
- Koubek menegaskan barisan pertahanan tidak gentar, berpengalaman mengekang pemain bertaraf bintang.
- Republik Czech kembali ke Piala Dunia selepas kemarau dua dekad, layak menerusi peringkat playoff.
- Koubek menyuntik disiplin; skuad kini bergantung pada corak permainan fizikal, agresif dan pelaksanaan taktik yang ketat.
Ketua jurulatih pasukan berkenaan, Miroslav Koubek, mendedahkan bahawa barisan pertahanannya tidak gentar dengan reputasi besar kapten Korea Selatan itu dan yakin dengan keupayaan pasukan untuk merantai jentera serangan wakil Asia berkenaan.
Koubek turut memuji bintang berusia 33 tahun itu yang disifatkan sebagai seorang “legenda sejati” yang menjadi ancaman utama pasukannya.
Namun beliau menegaskan barisan pertahanannya mempunyai pengalaman luas dalam mengekang pemain bertaraf bintang.
“Saya sudah mengendalikan pasukan untuk tempoh yang lama, jadi perkara seperti ini tidak membuatkan saya berasa gugup.
“Barisan pertahanan kami sudah biasa bermain menentang bintang-bintang besar bola sepak dunia dan mereka mampu mengendalikan penyerang terbaik Asia itu,” katanya kepada pemberita pada sidang media praperlawanan di sini.
Penampilan Republik Czech di edisi Piala dunia kali ini berjaya menamatkan kemarau dua dekad untuk kembali beraksi selepas kali terakhir layak pada 2006.
Koubek, yang mengendali pasukan berkenaan selepas kekalahan memalukan pasukan kepada Kepulauan Faroe di peringkat kelayakan, berjaya menyuntik disiplin tinggi sehingga membimbing skuad berkenaan melepasi pusingan kalah mati (playoff).
Berbeza dengan skuad edisi 2006 yang dipenuhi nama-nama besar, skuad bimbingan Koubek kali ini lebih bersandarkan kepada corak permainan fizikal dan agresif bagi mengekang lawan yang memiliki kelebihan teknikal.
“Segala-galanya akan bergantung kepada taktik dan bagaimana kami memanfaatkan kelebihan fizikal yang kami miliki.
“Apa yang pasti, kami perlu mengekalkan disiplin dan strategi dalam permainan,” tambah beliau lagi.
Selepas mengharungi aksi pembukaan menentang Korea Selatan, Republik Czech dijadualkan berdepan Afrika Selatan sebelum menentang pasukan tuan rumah bersama, Mexico, bagi baki saingan Kumpulan A. – REUTERS