Piala Dunia ISTAF: PSM kagum kebangkitan luar biasa skuad kuadran

Foto FB PSM

KUALA LUMPUR, 20 Mei– Kebangkitan penuh dan semangat juang yang dipamerkan skuad kuadran negara di pentas Piala Dunia ISTAF 2026 membuktikan keupayaan mereka untuk melakar transformasi luar biasa dalam tempoh singkat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Presiden PSM Datuk Mohd Sumali kagum dengan peningkatan skuad selepas aksi hambar pada dua perlawanan awal.
  • Pertemuan berulang dan suntikan semangat memperbaiki kelemahan, mempamerkan peningkatan dari perlawanan ke perlawanan.
  • Aksi separuh akhir dramatik: bangkit daripada ketinggalan 12-8, berjaya mengikat deuce dan menang set penentuan.
  • Pingat emas kuadran penawar kekecewaan regu, suntikan moral sebelum acara berpasukan; sasaran pertahankan reputasi juara SEA dan memburu trofi utama.

Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan mengakui kagum dengan pencapaian tersebut selepas pasukan negara hampir kehilangan keyakinan berikutan aksi hambar pada awal kejohanan.

Beliau mengakui aksi hambar skuad negara dalam dua perlawanan awal sebelum ini menimbulkan keraguan sama ada Malaysia mampu melangkah lebih jauh dalam saingan Piala Dunia ISTAF 2026.

“Saya rasa kejayaan ini di luar jangkaan kita juga. Sebab kalau melihat kepada prestasi daripada awal perlawanan pertama dan kedua, ia amat membimbangkan kita. Seolah-olah kita tiada keyakinan untuk melangkah lebih jauh daripada itu.”

“Namun, selepas kita mengadakan pertemuan dengan pemain berkali-kali untuk memperbaiki beberapa kelemahan selain memberikan suntikan semangat, akhirnya mereka mempamerkan peningkatan dari satu perlawanan ke perlawanan yang lain,” kata Datuk Sumali.

Beliau ditemui pemberita selepas kemenangan Malaysia ke atas India pada aksi akhir acara kuadran di Stadium Titiwangsa, malam tadi (19 Mei).

Menurut beliau, kejayaan itu cukup bermakna memandangkan acara kuadran kini menjadi fokus utama kebanyakan negara, sekali gus menyaksikan persaingan yang semakin sengit dan terbuka.

“Acara kuadran ini memang terbuka untuk semua negara. Semua negara membuat persiapan rapi dan memberikan fokus sepenuhnya kepada acara tersebut,” katanya.

Tambahnya, detik paling membanggakan buat beliau adalah semangat luar biasa yang dipamerkan oleh barisan pemain ketika bangkit daripada situasi hampir tewas pada aksi separuh akhir sebelum melakar kemenangan dramatik.

“Semasa aksi separuh akhir yang diheret ke set penentuan (set ketiga), semua pihak sudah beranggapan kita akan tewas.”

“Namun, mereka terus berjuang untuk bangkit daripada ketinggalan 12-8, akhirnya berjaya mengikat kedudukan (deuce) dan seterusnya menang untuk bergelar juara. Saya melihat semangat juang skuad kuadran ini sangat luar biasa,” katanya.

Beliau turut menyifatkan kejayaan meraih pingat emas kuadran itu sebagai penawar kepada kekecewaan skuad regu sebelum ini, selain menjadi suntikan moral terbaik menjelang acara berpasukan yang akan membuka gelanggang esok.

“Kita lupakan dahulu tentang kekalahan acara regu mahupun kejuaraan kuadran hari ini, kerana esok kita menggalas misi yang lebih besar.”

“Tumpuan utama dalam Piala Dunia ini sebenarnya adalah dalam acara berpasukan,” katanya.

Tegasnya, seluruh pemain kini perlu kembali fokus untuk mempertahankan reputasi Malaysia sebagai juara bertahan Sukan SEA dalam acara berpasukan, selain memburu trofi utama kejohanan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.