Piala Dunia: Bintang Maghribi Ismael Saibari terlepas aksi suku akhir menentang Perancis

Foto AFP

FOXBOROUGH, 9 Julai – Bintang Maghribi, Ismael Saibari disahkan terlepas aksi suku akhir Piala Dunia menentang Perancis akibat kecederaan hamstring, kata ketua jurulatih, Mohamed Ouahbi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Saibari baru melengkapkan perpindahan bernilai 50 juta euro ke Bayern Munich dari PSV Eindhoven.
  • Beliau menjaringkan gol dalam ketiga-tiga perlawanan peringkat kumpulan, menampilkan aksi cemerlang sepanjang kejohanan.
  • Tempatnya dijangka digantikan oleh penyerang Soufiane Rahimi, yang turut menyumbang gol dalam kemenangan 3-0 ke atas Kanada.
  • Ketua jurulatih Ouahbi menegaskan sasaran pasukan adalah separuh akhir, menolak pandangan bahawa suku akhir sudah memadai.

Ouahbi mengesahkan perkara itu menjelang pertembungan kedua- dua pasukan di Stadium Gillette, di sini, pada Jumaat.

Ketiadaan Saibari yang baru melengkapkan perpindahan bernilai 50 juta euro (AS$57 juta) ke Bayern Munich dari PSV Eindhoven menjadi tamparan hebat buat skuad Atlas Lions selepas beliau memamerkan aksi cemerlang sepanjang kejohanan dengan meledak gol dalam kesemua tiga aksi peringkat kumpulan.

Pemain tengah itu terpaksa dikeluarkan ketika Maghribi menewaskan Kanada 3-0 pada pusingan 16 terakhir Sabtu lepas.

Tempatnya dijangka digantikan oleh penyerang Soufiane Rahimi yang turut menyumbang gol dalam perlawanan tersebut.

Pertemuan semula ini membawa misi balas dendam buat Maghribi selepas disingkirkan Perancis 2-0 pada separuh akhir Piala Dunia 2022, yang menyaksikan mereka melakar sejarah sebagai pasukan Afrika dan Arab pertama mara ke kelompok empat terbaik.

Sementara itu, Ouahbi menolak pandangan bahawa pencapaian mara ke suku akhir kali ini sudah memadai buat pasukannya.

“Kami amat terdesak untuk memenangi perlawanan esok. Saya tidak suka dengan sentimen yang mengatakan kami sudah melakukan yang terbaik dan baki perlawanan hanyalah sekadar bonus. Sasaran kami adalah separuh akhir,” tegas Ouahbi yang mengambil alih tugas daripada Walid Regragui Mac lepas.

Sementara itu, bintang Real Madrid, Brahim Diaz menyatakan keyakinan terhadap keupayaan Maghribi untuk menumbangkan juara bertahan berkenaan, meskipun bakal berdepan rakan sepasukannya di Real Madrid, Kylian Mbappe.

“Esok kami akan menentang antara pasukan pilihan kejohanan. Namun kami telah membuktikan yang kami mampu bersaing dan sebab itulah kami berada di sini,” kata Diaz. – AFP.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.