
KUALA LUMPUR, 4 Ogos- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan terus memperkukuh pembangunan sukan berprestasi tinggi negara selepas kontinjen Malaysia melakar pencapaian membanggakan di Sukan Komanwel Glasgow 2026 apabila melepasi sasaran awal dengan meraih lapan pingat emas.
- Kejayaan lebih bermakna kerana kontinjen yang dihantar lebih kecil namun mencatat antara pencapaian terbaik sejak 2010.
- Kejayaan hasil komitmen atlet dan kerjasama Majlis Sukan Negara, Institut Sukan Negara, Chef de Mission serta barisan jurulatih.
- KBS memberi perhatian kepada pembangunan angkat berat dan menyalurkan RM4.1 juta untuk pembangunan atlet serta jurulatih.
- Permohonan tambahan akan dinilai mengikut keperluan dan perancangan realistik; kebajikan jurulatih dan pembangunan atlet terus diberi perhatian.
Menterinya, Dr. Mohammed Taufiq Johari berkata sasaran awal yang ditetapkan bagi temasya berkenaan ialah lima pingat emas, namun atlet negara berjaya mencatat pencapaian lebih baik.
“Alhamdulillah, kontinjen dan atlet negara berjaya membawa pulang pencapaian yang cukup membanggakan dengan lapan pingat emas, tiga pingat perak dan lima pingat gangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyambut kepulangan kontinjen negara dari Sukan Komanwel Glasgow 2026 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.
Menurut beliau, kejayaan itu lebih bermakna apabila kontinjen negara yang dihantar lebih kecil berbanding edisi terdahulu masih mampu mencatat antara pencapaian terbaik Malaysia dalam Sukan Komanwel sejak 2010.
Katanya, kejayaan itu hasil komitmen atlet serta kerjasama semua pihak termasuk Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN), Chef de Mission (CDM) dan barisan jurulatih.
Sementara itu, Dr. Mohammed Taufiq berkata KBS turut memberi perhatian terhadap pembangunan sukan berpotensi tinggi termasuk angkat berat yang dilihat mampu menyumbang kejayaan besar kepada negara.
Mengulas permohonan tambahan peruntukan RM1 juta setahun oleh Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM), beliau berkata KBS telah menyalurkan RM4.1 juta tahun ini bagi pembangunan sukan angkat berat termasuk pembangunan atlet dan jurulatih menerusi Program Road to Gold (RTG), Program Podium, Program Pelapis dan Program Bakat Akar Umbi.
“Untuk tahun ini, kita telah melaksanakan pelbagai program bagi memastikan angkat berat menjadi antara sukan teras berprestasi tinggi. Sebanyak RM4.1 juta disalurkan untuk pembangunan atlet serta jurulatih angkat berat,” katanya.
Beliau berkata permohonan tambahan peruntukan itu akan dinilai berdasarkan keperluan serta perancangan yang realistik bagi memastikan pembangunan sukan angkat berat dapat diperkasakan.
“Kita perlu melihat secara terperinci pecahan keperluan itu. Jumlahnya boleh jadi besar atau kecil, tetapi sekiranya permohonan tersebut realistik dan memenuhi keperluan yang diperlukan, perkara itu akan dibawa untuk perbincangan lanjut,” katanya.
Menurut beliau, angkat berat merupakan antara sukan yang berpotensi menyumbang pingat emas pertama negara di Sukan Olimpik, justeru pembangunan atlet dan kebajikan jurulatih akan terus diberi perhatian.