Azizulhasni berbesar hati jika diberi kepercayaan ke LA28

Datuk Mohd Azizulhasni Awang/ RTM

KUALA LUMPUR, 4 Ogos- Legenda berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang berbesar hati sekiranya masih diberi kepercayaan untuk meneruskan khidmat bersama skuad negara untuk Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).

RINGKASAN BERITA AI
  • Keputusan penglibatan LA28 perlu ditentukan bersama KBS, MSN dan PKBM.
  • Laluan kelayakan ke Olimpik sukar; memerlukan penyertaan dalam kejohanan antarabangsa termasuk perlumbaan Kelas 1, Kelas 2 dan Piala Dunia.
  • Menjuarai keirin Sukan Komanwel di Glasgow, tamatkan penantian 16 tahun, dan berasa seperti anugerah; mempertimbangkan persaraan.

Pemenang pingat perak Olimpik Tokyo itu berkata keputusan mengenai penglibatannya pada temasya berkenaan perlu ditentukan bersama pihak berkepentingan termasuk Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN) serta Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).

“Ini bukan tentang saya hendak pergi Olimpik LA atau tidak, tetapi sama ada Malaysia atau pasukan Malaysia memerlukan saya atau tidak untuk LA.

“Jika pasukan Malaysia atau Malaysia memerlukan khidmat saya, saya boleh buat perancangan,” katanya kepada pemberita selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Glasgow, hari ini.

Atlet berusia 38 tahun itu berkata laluan kelayakan ke temasya Olimpik itu bukan mudah kerana memerlukan penyertaan dalam pelbagai kejohanan antarabangsa, termasuk perlumbaan Kelas 1, Kelas 2 dan Piala Dunia.

Buat masa ini, fokus beliau adalah kepada persiapan menghadapi Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 yang dijadual bermula pada 19 September ini.

“Sukan Asia bukan satu saingan yang mudah. Dalam acara berbasikal, kita tahu tahap persaingannya sama seperti Sukan Komanwel kerana turut menampilkan pelumba bertaraf dunia.

“Pesaing utama kita ialah Jepun dan China yang mempunyai pasukan berkualiti tinggi,” katanya.

Pada aksi Sabtu lalu, penantian selama 16 tahun Datuk Mohd Azizulhasni untuk bergelar juara Sukan Komanwel berakhir apabila beliau merangkul pingat emas pertama dalam kariernya menerusi acara keirin di Velodrom Sir Chris Hoy, Glasgow, Scotland.

“Secara jujur, kalau boleh hendak gantung basikal hari ini saja. Saya sangat gembira untuk akhiri karier saya pada kemuncak. Saya rasa macam anugerah daripada Allah apabila menang di Glasgow baru-baru ini,” katanya lagi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.